Selasa, 28 Mei 2019 | 5:27pm
ARKITEK tengah Malaysian Tigress, Wan Norfaiezah Md Saiuti (kanan). NSTP/Rozainah Zakaria

Ketiadaan Wan Norfaiezah beri kesan buat Malaysian Tigress

 

KUALA LUMPUR: Ketiadaan arkitek tengah, Wan Norfaiezah Saiuti menjadi antara penyumbang utama kekalahan besar 5-1 kepada Sepanyol dalam aksi persahabatan pertama Jelajah Eropah, semalam.

Perkara itu diakui ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah tatkala pasukannya kini dalam persiapan terakhir bagi menghadapi kempen Pusingan Akhir Siri FIH di Banbridge, Ireland Utara bermula 8 Jun ini.

Norfaiezah terpaksa diketepikan gara-gara belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali dialami sewaktu aksi persahabatan bertemu Rajawali dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tempoh hari.

"Pemain semua OK, cuma tinggal Wan saja tidak boleh beraksi. Itu yang menyebabkan kami berdepan masalah besar ketika tumbang kepada Sepanyol," kata Dhaarma.

"Ketiadaannya membuatkan bahagian tengah kami kurang hidup kerana kami tidak mempunyai pemain yang mampu mengawal bola dengan baik di tengah padang."

Justeru, Dhaarma, 50, berkata dia mungkin akan mengambil risiko menurunkan Norfaiezah pada pertemuan kedua menentang Itali, malam ini bagi memastikan pemain terbabit mendapat minit permainan sebelum ke Banbridge.

"Bukan disebabkan nak menang saya akan menurunkannya petang ini tetapi sebenarnya nak bagi dia 'feel' perlawanan," katanya.

Terdahulu, skuad Malaysian Tigress mendapat pengajaran berguna selepas gagal menyaingi pasukan kelapan dunia, Sepanyol semalam.

Gol tunggal Malaysia pada perlawanan berkenaan dihasilkan penyerang berusia 19 tahun, Nuramirah Syakirah Zulkifli pada minit ke-26.

 

 

Berita Harian X