Rabu, 29 Mei 2019 | 5:46pm
TIMBALAN Presiden MAKAF, Vincent Chen. NSTP/Saifullizan Tamadi.

Pemilihan MAKAF ikut prosedur, kriteria

 

KUALA LUMPUR: Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) menyifatkan tindakan wakil kumpulan berhaluan kiri, P Thiagu sengaja memutar belit fakta sebagai jalan terakhirnya menjayakan percubaan merampas kuasa dari dalam badan induk itu.

Semalam, Presiden Persatuan Karate-do Putrajaya itu mendakwa jawatankuasa baharu MAKAF sebagai tidak sah selepas pemilihan diadakan Oktober tahun lalu belum diiktiraf Pesuruhjaya Sukan (PJS).

Bagaimanapun, Timbalan Presiden MAKAF, Vincent Chen berpendapat dakwaan itu sebagai tidak masuk akal selepas Thiagu gagal mengemukakan bukti kukuh.

"Ia (kenyataan) yang tidak adil dan langsung tidak masuk akal. Pemilihan MAKAF adalah berprofil tinggi dan kita sudah mendapat mandat 100 peratus ahli untuk jalankan pemilihan pada tahun lalu.

"PJS juga sudah dimaklumkan, memang kita ikut semua prosedur dan kriteria dengan wakil Majlis Olimpik Malaysia (MOM) turut menjadi juri. Jadi mengapa sekarang dia (Thiagu) cakap kita tidak dapat kelulusan PJS pula," kata Vincent ketika dihubungi.

Kenyataan Thiagu itu berpunca daripada keputusan mesyuarat majlis tertinggi MAKAF di Melaka, minggu lalu untuk mengambil tindakan terhadap lima daripada ahli gabungannya yang didapati melanggar peraturan tertentu.

Lima persatuan itu adalah Persatuan Karate Putrajaya, Perak, Pahang, Pulau Pinang serta Persekutuan Karate Goshin-Ryu yang difahamkan antara 12 ahli gabungan menentang MAKAF.

Vincent turut percaya Thiagu sengaja mengeruhkan keadaan dalam usahanya mendapat simpati Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Ia bukan hanya soal (tuduhan jawatankuasa eksekutif) tidak sah, tetapi soal dia putar belit fakta. Sepatutnya PJS tidak boleh mempersoalkan pemilihan sesebuah badan induk, fungsi PJS hanya untuk memastikan pemilihan berjalan dengan lancar.

"Sekarang dia (Thiagu) cakap PJS tidak iktiraf pula, apa yang peliknya kami ada berjumpa PJS dua minggu lalu tetapi tidak pula disoal oleh mereka berhubung perkara ini," katanya.

Berita Harian X