Sabtu, 1 Jun 2019 | 4:41pm
Datuk Nur Azmi Ahmad. - Foto Owee Ah Chun

Pengurusan MAKAF sedia selesai di mahkamah

 

KUALA LUMPUR: Masalah perebutan kuasa dalaman Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) sampai ke kemuncaknya apabila Setiausaha Agung badan induk itu, Datuk Nur Azmi Ahmad tidak menolak dia sedia menyelesaikannya di mahkamah.

Kata-kata itu terpacul daripada mulutnya selepas tidak lagi tahan dengan tuduhan demi tuduhan dilemparkan kumpulan berhaluan kiri termasuk mempersoalkan pemilihan kepimpinan baharu MAKAF.

"Sekarang ini saya tak mahu cerita banyak. Kalau mereka tak puas hati bawa isu ini ke mahkamah. Malah kalau kami rasa tak puas hati juga, kami akan heret mereka ini ke mahkamah. 

"Kami sedia berdepan dengan mereka ini. Tak perlu nak babitkan pihak lain dalam kes ini. Ia adalah urusan MAKAF dengan kumpulan itu saja," katanya.

Penyelesaian di Mahkamah dilihat jalan terbaik selepas kedua-dua pihak terus menerus secara terbuka menyerang antara satu sama lain kebelakangan ini.

Terbaru, kumpulan berhaluan kiri membabitkan 12 ahli gabungan membayangkan kuasa kepimpinan baharu MAKAF sebagai terhad selepas hanya menyandang tugas itu secara sementara.

Ini kerana, wakil kumpulan itu, P Thiagu mendakwa, MAKAF belum lagi mengadakan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan (BGM) yang sepatutnya berlangsung Mac lalu selepas mengadakan pemilihan pada Oktober tahun lalu.

Jelas beliau, BGM penting untuk mengesahkan kepimpinan baru yang kemudian akan diiktiraf Pesuruhjaya Sukan (PJS).

Thiagu sebelum itu mendakwa jawatankuasa eksekutif MAKAF tidak boleh mengambil sebarang tindakan ke atas mereka kerana pemilihan Oktober tahun lalu belum diiktiraf PJS.

Reaksi Thiagu itu susulan kenyataan Nu Azmi yang menghantar surat tunjuk sebab kepada lima ahli gabungannya yang didapati melanggar peraturan tertentu.

 

 

244 dibaca
Berita Harian X