Selasa, 4 Jun 2019 | 4:30pm
NUR Zafirah dan Nuraslinda.

Dhaarma terpaksa gugurkan Nuraslinda, Zafirah

 

KUALA LUMPUR: Sambutan Aidilfitri tahun ini pastinya tidak dapat dilupakan dua pemain hoki negara, Nuraslinda Said dan Nur Zafirah Aziz apabila mereka diketepikan dalam skuad 18 pemain bagi menghadapi Pusingan Akhir Siri FIH di Banbridge, Ireland Sabtu ini.

Kedua-dua pemain itu boleh dianggap sebagai pemain senior dalam pasukan terutamanya Nuraslinda, 23, yang tidak pernah digugurkan sejak ketua jurulatih Dhaarma Raj Abdullah mengambil alih pasukan pada hujung 2015.

Namun, perjudian berani disifatkan 'terpaksa' oleh Dhaarma itu bagi memberi laluan kepada penyerang kian meningkat, Siti Zulaikha Hussin yang baharu berusia 18 tahun.

"Semua pemain sudah diberi cukup peluang membuktikan kemampuan," kata Dhaarma ketika dihubungi selepas mengumumkan senarai 18 pemain di Uddingston, Scotland, hari ini.

"Empat aksi dalam saingan Tiga Penjuru di Itali memang sukar. Pada mulanya semua melihat Zulaikha sebagai pilihan mudah untuk digugurkan disebabkan saiz fizikalnya yang kecil selain faktor masih muda.


DHAARMA Raj Abdullah.

"Tetapi sebaliknya dia beraksi cemerlang dalam setiap perlawanan, kelibat dia mengingatkan saya kepada Fail Helmi (Jali) yang tidak menunjukkan tanda takut walaupun berdepan pemain lebih besar.

"Zulaikha menewaskan Zafirah untuk slot terakhir penyerang," kata Dhaarma.

Tegas Dhaarma, Nuraslinda pula akur kepada Surizan Awang Noh yang sebelum ini berdepan kemungkinan tersisih selepas masalah kecederaan konkusi pada bahagian kepala dalam aksi menentang Sepanyol.

"Surizan kembali bermain semalam (menentang Pilihan Uddingston). Walaupun cedera dan baharu saja sembuh tetapi dia mempunyai rekod prestasi baik sebelum ini," katanya.

Di Banbridge nanti, skuad Malaysian Tigress dijangka berdepan misi sukar apabila membuka kempen Kumpulan A menentang tuan rumah Ireland yang juga naib juara Piala Dunia 2018 pada Sabtu ini dengan Republik Czech dan Singapura menunggu selepas itu.

Kumpulan B pula disertai dua pasukan pilihan terdiri daripada gergasi Asia, Korea Selatan dan Scotland selain dua pasukan kerdil Ukraine serta Perancis.

Berita Harian X