Ahad, 9 Jun 2019 | 8:53pm
Persekutuan Karate Do Malaysia (MAKAF).

Majlis Eksekutif MAKAF kena undi tak percaya

IPOH: Sebanyak 12 gabungan Persekutuan Karate Do Malaysia (MAKAF) menzahirkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Majlis Eksekutif badan itu berhubung pelbagai isu berkaitan sukan Karate Do sejak Februari tahun lepas.

Kesemua 12 daripada 22 ahli gabungan MAKAF itu termasuk Persatuan Karate Do Shin Ryu, Persatuan Karate Hayashi Ha Malaysia, Persatuan Karate Do Goju Kai Malaysia, Majlis Sukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa persatuan karate negeri mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa bagi melancarkan undi tidak percaya terhadap Majlis Eksekutif MAKAF di sini hari ini.

Presiden Persatuan Karate Do Putrajaya, P Thiagu berkata ahli gabungan berkenaan mengadakan undi tidak percaya itu susulan pelbagai isu yang wujud mengenai sukan karate do sejak Februari tahun lepas.

Antara isu ialah dakwaan penyalahgunaan dana badan berkenaan untuk kepentingan peribadi, kegagalan MAKAF membantu atlet negara yang layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Makaf juga dikatakan membuat pelaburan terhadap sebuah syarikat tanpa mendapat kelulusan majlis tertinggi persatuan, katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini hari ini.  

Beliau berkata berdasarkan Seksyen 23 Akta Pembangunan Sukan, persatuan perlu mengadakan penyelesaian dalaman mengenai konflik itu sebelum campur tangan Kementerian Belia dan Sukan serta pihak mahkamah. 

Beliau berkata pihaknya mengambil inisiatif untuk mengadakan mesyuarat luar biasa selepas telah beberapa kali menulis surat kepada MAKAF bagi meminta penjelasan mengenai beberapa isu berbangkit namun tidak dihiraukan malah menolak untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa.

Thiagu berkata status pentadbiran majlis eksekutif akan diambil alih oleh jawatankuasa ad hoc (sementara) hingga Mesyuarat Agung Pemilihan Majlis Eksekutif yang dijangka diadakan pada 10 Julai depan, selepas lebih separuh daripada persatuan gabungan MAKAF menyatakan hilang kepercayaan.

Untuk rekod, MAKAF sejak 2010 sehingga kini diterajui presiden, Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) tahun lepas, Mohd Ali meneruskan kepimpinannya setelah menewaskan pencabar, Datuk Clement Soo. - BERNAMA

Berita Harian X