Isnin, 10 Jun 2019 | 5:18pm
Presiden MAKAF, Tan Sri Mohd Ali Rustam. - NSTP/Khairunisah Lokman

EGM MAKAF di Ipoh didakwa tak sah

MELAKA: Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang membawa kepada undi tidak percaya kepada kepemimpinan Majlis Eksekutif Persekutuan Karate Do Malaysia (MAKAF) yang dianjurkan oleh `gabungan 12’ di Ipoh semalam, dianggap tidak sah.

Presiden MAKAF, Tan Sri Mohd Ali Rustam, berkata ini kerana kesahihan keahlian dalam kalangan ahli gabungan yang hadir pada mesyuarat berkenaan masih samar dan boleh dipertikaikan.

Beliau mendakwa, terdapat dalam kalangan persatuan karate yang menyertai gabungan 12 atau `kumpulan berhaluan kiri’ itu pada mesyuarat berkenaan belum disahkan sebagai ahli gabungan selain belum melunaskan yuran tahunan.

"Mereka boleh buat undi tidak percaya, tetapi kita kena semak sama ada yang datang (ke EGM) itu ahli gabungan atau tidak, ada bayar yuran atau tidak.

“Setiap persatuan yang hadir ke mesyuarat agung perlu menghantar lima wakil yang dipilih secara sah dan dipersetujui oleh ahli jawatankuasa atau EXCO masing-masing. Semua ini kita perlu semak, bukan boleh terima saja (kehadiran mereka)," katanya pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Setiausaha Agung MAKAF, Datuk Paduka Nurazmi Ahmad, di Ujong Pasir, di sini malam tadi.

Semalam, 12 gabungan MAKAF menzahirkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan majlis eksekutif badan itu berhubung pelbagai isu berkaitan sukan karate do sejak Februari tahun lalu menerusi EGM di Ipoh.

Mengulas lanjut, Mohd Ali berkata, pihaknya juga akan menjalankan semakan sama ada 12 ahli gabungan yang didakwa hadir pada EGM berkenaan benar-benar mempunyai keahlian MAKAF yang sah.

"Betul ker ada 12 pertubuhan? Saya dengar ada pertubuhan yang bayar yuran tahunan kepada MAKAF menggunakan cek ‘meletup' (tendang)... mereka tidak boleh hadir mesyuarat agung," katanya.

Mohd Ali turut menyifatkan dakwaan `kumpulan berhaluan kiri’ itu, kononnya kepemimpinan MAKAF ketika ini gagal menangani beberapa isu berkaitan sukan itu, selain menyalahgunakan dana persatuan sebagai fitnah.

Sehubungan itu, katanya, MAKAF tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

"Tindakan mahkamah adalah jalan terbaik. Jika mereka tidak percaya terhadap kita, kita pun tidak percaya kepada mereka," katanya.

Berita Harian X