Rabu, 12 Jun 2019 | 5:37pm
REAKSI skuad hoki wanita negara ketika bertemu Republik Czech di Banbridge, Ireland semalam.

Dhaarma kian terasa bahang di Ireland

KUALA LUMPUR: Kegembiraan yang dikecapi pengendali skuad Malaysian Tigress, Dhaarma Raj Abdullah hasil kejayaan meraih tempat kedua Kumpulan A saingan hoki wanita pusingan akhir Siri FIH di Banbridge, Ireland Utara mungkin hanya seketika.

Ini selepas skuad hoki wanita negara dijadualkan berdepan pasukan tempat ketiga Kumpulan B, Perancis dalam playoff, esok bagi merebut slot ke separuh akhir.

Berdasarkan percaturan awal jurulatih berusia 50 tahun itu, dia sememangnya menetapkan sasaran naib juara kumpulan sambil berharap Ukraine menjadi lawan playoff mereka dan bukannya Perancis.

Tetapi kekalahan besar 4-0 Ukraine kepada Scotland, semalam merubah perancangannya itu apabila menyebabkan negara Eropah Timur itu terperosok ke dasar Kumpulan B, hanya dipisahkan berdasarkan perbezaan gol dengan Scotland (tempat kedua) dan Perancis (ketiga).

Walaupun berkedudukan ranking ke-30 dunia, Perancis dilihat mempunyai skuad yang ampuh kali ini berbanding Scoland (ke-18) dan Ukraine (ke-29).

"Sebelum ke sini (Banbridge) memang saya menjangkakan mendapat tempat kedua kumpulan," kata Dhaarma ketika dihubungi sebentar tadi.

"Cumanya waktu itu saya merasakan Ukraine yang akan menjadi lawan di playoff.

"Tetapi kini perlu berdepan Perancis yang mana mereka menunjukkan peningkatan drastik selepas melakukan persiapan awal bagi menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Paris 2024," katanya lagi.

Semalam, Malaysia yang berada pada ranking ke-22 dunia melakar kejutan apabila membenam Republik Czech 3-1 sekali gus mengesahkan slot ke playoff sebagai naib juara Kumpulan A dengan mengumpul enam mata.

Tiga mata pertama diperoleh hasil kemenangan pesta gol 12-0 ke atas jiran Singapura, selepas terdahulu membuka tirai kejohanan dengan kekalahan 2-1 di tangan naib juara Piala Dunia 2018, Ireland.

"Saya berharap pemain tidak terlalu terbawa-bawa dengan kejayaan ke atas Singapura dan Czech, kerana tekanan berbeza menanti mereka dalam aksi kalah mati nanti," kata Dhaarma.

Berita Harian X