Rabu, 12 Jun 2019 | 8:06pm
Penolong Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), May Tan. - NSTP/Saddam Yusoff

Renang dijangka hilang satu lagi emas Sukan SEA Filipina

KUALA LUMPUR: Malaysia hampir pasti akan kehilangan dua pingat emas dalam sukan akuatik pada temasya Sukan SEA Filipina hujung tahun ini selepas juara bertahan acara renang terbuka 10 kilometer (km) wanita, Heidi Gan mengambil keputusan bersara.

Penolong Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), May Tan mengesahkan perkembangan itu sebentar tadi.

Semalam, Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Mohd Norza Zakaria mengesahkan acara renang terbuka lelaki 10km tidak akan dipertandingkan di Filipina manakala kategori wanita dikekalkan. Malaysia adalah pemenang pingat emas bagi kedua-dua acara itu menerusi Kevin Yeap Soon Choy dan Heidi pada temasya terakhir di ibu negara pada 2017 atau Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

"Sukar untuk kita mempertahankan pingat kerana Heidi sudah membuat keputusan untuk bersara dan acara lelaki pula tidak dipertandingkan. Tapi ASUM sedang mencari atlet berpotensi untuk diserapkan ke dalam skuad negara. Pada April lalu kita menganjurkan Kejohanan Renang Terbuka Kebangsaan di Putrajaya bagi mengenal pasti bakat baharu yang boleh diketengahkan," kata May.

Temasya Sukan SEA Filipina 2019 dijadual berlangsung pada 30 November hingga 11 Disember ini.

186 dibaca
Berita Harian X