Jumaat, 14 Jun 2019 | 12:52am
FATIN Syafiqa (kanan) meraikan jaringan kedua ketika Malaysia mengatasi Perancis 3-2 dalam aksi play-off sebentar tadi.

Malaysian Tigress mara ke separuh akhir

 

KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita negara terpaksa menahan gementar sebelum menempah tiket ke separuh akhir Pusingan Akhir Siri FIH di Banbridge, Ireland Utara selepas menewaskan Perancis 3-2 pada aksi play off sebentar tadi.

Ini selepas Malaysian Tigress terpaksa beraksi dengan 10 pemain bagi tempoh dua minit terakhir permainan gara-gara kapten pasukan, Siti Noor Amarina Ruhani dilayangkan kad kuning.

Ia gara-gara dia tidak berpuas hati dengan keputusan 'berat sebelah' pengadil menghadiahkan pukulan sudut penalti kepada Perancis ketika barisan pemain negara sebenarnya berada dalam kedudukan lebih lima kaki sewaktu pemain lawan mengambil pukulan bebas di depan kawasan D.

Dalam aksi itu, skuad negara di depan seawal minit keenam selepas Nuraini Abd Rashid menolak masuk pukulan sudut penalti sebelum Fatin Shafika Mahd Sukri menambah gol kedua pada minit kelapan juga menerusi gerakan sama.

Bagaimanapun seminit kemudian Delfina Gaspari berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan padang tetapi penyerang negara, Hanis Nadiah Onn meletakkan Malaysia di depan 3-1 minit ke-15 hasil gol padang.

Guusje van Bolhuis mencetuskan resah di kem negara apabila merapatkan jurang pada minit ke-26 menerusi pukulan sudut penalti.

Kedudukan itu bertahan sehingga tamat perlawanan namun Malaysian Tigress terpaksa berdepan saingan sengit lawan sepanjang suku ketiga dan keempat.

Malaysia seterusnya dijadualkan berdepan Korea Selatan dalam aksi separuh akhir, esok.

Berita Harian X