Isnin, 17 Jun 2019 | 11:01pm
PENGENDALI Malaysian Tigress, Dhaarma Raj Abdullah. - Foto Owee Ah Chun

Skuad hoki wanita masih ada peluang

KUALA LUMPUR: Pengendali Malaysian Tigress, Dhaarma Raj Abdullah mempunyai dua sebab gembira meskipun pasukannya gagal meraih dua slot automatik ke kelayakan akhir Sukan Olimpik menerusi Pusingan Akhir Siri FIH yang melabuhkan tirainya, semalam.

Pertama, peluang masih terbuka buat skuad hoki negara untuk memburu tempat ke kelayakan akhir Sukan Olimpik 2020 dengan syarat perlu berharap kedudukan ranking dunia berubah.

Ia susulan kejayaan Malaysia mengatasi Republik Czech 2-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga semalam yang mana mencerahkan peluang mereka melonjak ke dalam kelompok 20 ranking terbaik dunia.

Ketika ini, skuad kendalian Dhaarma itu menghuni kedudukan ke-22 dunia, di belakang Scotland (18), Czech (19), Belarus (20) dan Kanada (21).

Bagaimanapun, Malaysia berpeluang untuk memintas Czech, Belarus dan Kanada berikutan perbezaan mata ranking yang kecil tatkala Scotland pula tidak akan beraksi di Sukan Olimpik memandangkan mereka membawa cabaran di bawah Great Britain.

"Selepas perlawanan semalam jurulatih Czech memberitahu kita boleh memintas mereka di kedudukan ke-19 dunia," kata Dhaarma.

"Jika betul, bermakna kita masih berpeluang mara ke kelayakan terakhir Olimpik menerusi tiket empat pasukan dengan ranking dunia terbaik yang tidak layak menggunakan laluan Pusingan Akhir Siri FIH dan Liga Pro Dunia.

"Harus diingat, FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa) belum mengemaskini pungutan mata ranking dunia daripada Sukan Asia 2018 dan Pusingan Akhir Siri FIH."

Selain itu, jurulatih berusia 50 tahun itu yang terkenal dengan sentuhan 'magisnya' meningkatkan reputasi setiap pasukan dibimbingnya, turut gembira apabila sebahagian besar pemainnya berjaya menarik minat kelab Eropah.

Antaranya, pakar pukulan sudut penalti Nuraini Rashid yang kini menjadi rebutan bekas kelabnya Butterfly Roma serta pasukan Liga Perdana England, East Grinstead.

Sementara itu, khidmat Wan Norfaiezah Saiuti dan Hanis Nadiah Onn sekali lagi ditagih pasukan Jerman, Wespen Zehlendorfer dengan pemain seperti Kirandeep Kaur, Siti Zulaikha Hussin, Nuramirah Syakirah serta Maizatulhanim Syafi tidak terkecuali.

Berita Harian X