Selasa, 18 Jun 2019 | 9:10pm
Penyerang skuad hoki negara, Siti Zulaikha Husain ketika ditemuramah pemberita sebaik tiba dari Ireland di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - NSTP/Saifullizan Tamadi

Siti Zulaikha jadi tumpuan di Ireland

KUALA LUMPUR: Biarpun baru kali pertama tampil pada Kejohanan Siri Final Wanita FIH, penyerang muda bertubuh kecil Siti Zulaikha Hussin membuktikan pemilihannya ke Ireland adalah tepat apabila menyumbang tiga gol sepanjang saingan kejohanan itu sekali gus membantu skuad hoki negara menduduki tempat ketiga.

Zulaikha yang berketinggian 150 sentimeter itu berkata dia sendiri tidak menjangkakan dapat menjaringkan gol kerana baru sahaja bersama skuad senior selepas menghabiskan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 

"Saya tak sangka sampai ke hari ini memperoleh peluang untuk menjaringkan gol. Kesemuanya tiga gol," katanya yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba dari Ireland di sini hari ini. 

"Saya rasa berbaloi sangat apabila dapat tunjukkan kepada semua dan jurulatih apa saya boleh lakukan."

Siti Zulaikha, 18, berkata fokus, bantuan serta nasihat daripada pemain senior membantunya untuk menjaringkan gol serta membantunya mengatasi rasa gementar pada penampilan sulungnya. 

"Perlawanan pertama itu saya memang masih gementar namun semakin dapat diatasi daripada satu perlawanan ke perlawanan lain. Senior banyak memberi kata semangat dan keyakinan saya semakin bertambah," katanya. 

Sementara itu, jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah berkata prestasi yang ditunjukkan Zulaikha memberi keyakinan kepadanya untuk menampilkan lebih ramai pemain muda untuk menguatkan skuad sedia ada. 

"Walaupun orang nampak Zulaikha kecil macam budak-budak tetapi di Ireland, ramai pasukan luar yang bercakap tentang kehebatan Zulaikha di sana," kata Dhaarma.

Dalam perlawanan playoff tempat ketiga dan keempat Ahad lalu, skuad negara berjaya menduduki tempat ketiga selepas menewaskan Republik Czech 3-0 di Kelab Hoki Banbridge, Ireland sekali gus membuka peluang negara untuk menempah tiket ke kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang akan berlangsung pada Oktober dan November tahun ini.

Berita Harian X