Rabu, 19 Jun 2019 | 8:29pm
PEMAIN boling negara, Shalin Zulkifli. NSTP/Danial Saad
PEMAIN boling negara, Shalin Zulkifli. NSTP/Danial Saad

Nuru Huda yakin Shalin mampu pecah rekod miliknya

KUALA LUMPUR: Selepas 30 tahun memegang rekod sebagai pemenang pingat emas terbanyak pada Sukan SEA, bekas ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah yakin jaguh veteran boling, Shalin Zulkifli dapat menyamai atau membaiki rekod itu pada temasya hujung tahun ini di Filipina.

Nurul Huda yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia (Timbalan CDM) ke Sukan SEA Filipina berkata beliau tidak menjangkakan rekod kemenangan 22 emas itu masih mampu bertahan sehingga kini namun Shalin mengekori rapat rekodnya apabila sudah mengumpul 20 emas.

"Ini adalah satu-satunya rekod yang saya ada kini (selepas rekod catatan masa kebangsaan semua sudah diperbaharui).

"Saya akan rasa sedih apabila rekod ini berjaya dipecahkan tetapi saya sebenarnya terkejut bagaimana ia boleh bertahan selama ini iaitu 30 tahun sejak saya bertanding dahulu," katanya selepas bersama-sama CDM ke Sukan SEA Filipina, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan seorang lagi timbalan CDM, Ahmad Faedzal Md Ramli meninjau persiapan atlet ke Sukan SEA di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.

Nurul Huda berkata sebelum ini beliau memegang lapan rekod kebangsaan sepanjang penyertaannya di temasya Sukan SEA antara 1983 hingga 1989 yang semuanya sudah berjaya diperbaharui.

"Pungutan pingat Shalin tak jauh daripada saya, dengan perbezaan dua emas sahaja lagi. Jika pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur lalu beliau memenangi beberapa emas (tiga emas), saya yakin dia dapat atasi rekod saya kali ini jika dia mengekalkan prestasi kali ini.

"Saya sering galakkan dia (Shalin) untuk pecahkan rekod saya. Jika itu berlaku, ia bermakna atlet kita semakin bagus," katanya yang juga baru membuka akademi renangnya sendiri.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X