Khamis, 20 Jun 2019 | 12:37am
ATLET Karate Negara, Syakilla Salni Jefry Krisnan. NSTP/Khairull Azry Bidin.

MAKAF tetap pantau latihan Syakilla di Phuket

KUALA LUMPUR: Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) tetap memantau program atlet kontroversi, Syakilla Salni Jefry Krisnan yang mengambil keputusan untuk berlatih di bawah bekas jurulatih kebangsaan, Andris Vasiljeves dari Latvia di Phuket, Thailand.

Setiausaha Agung MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad menegaskan pihaknya tidak mengabaikan perkembangan atlet itu walaupun tidak berlatih bersama skuad negara di bawah bimbingan ketua jurulatih negara dari Iran, Ali Reza Souleymani.

Katanya, Syakilla tetap menjadi sandaran negara untuk meraih emas pada Sukan SEA ke-30 di Filipina, November ini, selain disasar layak ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

"Kita bukan tinggalkan Syakilla begitu sahaja tetapi kita memantau program yang dibuat oleh Majlis Sukan Negara (MSN). Malah, kita tidak mempunyai sebarang halangan untuk atlet berkenaan terus menjalani latihan di luar negara selagi tindakan itu memberi manfaat kepaad kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Kontinjen Negara ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, pada sesi latihan skuad karate di Lapang Sasar Menembak MSN, di sini, hari ini.

Nur Azmi berkata MAKAF tetap kekal dengan sasaran empat pingat emas pada temasya dwitahunan berkenaan iaitu tiga dalam acara kumite (tempur) dan satu dalam acara kata (seni).

Sebelum ini, MSN memenuhi kehendak Syakilla untuk berlatih bersama Vasiljevs dengan syarat atlet berkenaan menurunkan berat untuk bersaing bagi kategori bawah 55 kilogram selepas bekas juara Sukan Asia Incheon 2014 itu kini mengalami peningkatan berat badan melebihi 60 kilogram

Selain Syakilla, Makaf turut meletakkan harapan kepada beberapa atlet untuk memenuhi sasaran emas termasuk atlet ranking nombor satu dunia bawah 21 tahun, P Madhuri dan A Somanroy, ranking ketiga dunia bawah 21 tahun.

-- BERNAMA

Berita Harian X