Ahad, 23 Jun 2019 | 12:16pm
Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin. - NSTP/Owee Ah Chun
Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin. - NSTP/Owee Ah Chun

MPM perlu profesional - Megat

KUALA LUMPUR: Kegagalan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menjalankan proses saringan calon dengan telus mengundang rasa kecewa calon presiden, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

Megat mendakwa ada unsur 'penipuan' apabila ada pihak didakwanya tidak mengikut peraturan perlembagaan untuk bertanding pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu Sabtu depan.

Justeru itu, beliau yang juga Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) meminta campur tangan Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk menyelesaikan masalah yang dimulakan kem tertentu dalam MPM.

"Jika MPM tidak dapat menyelesaikan masalah ini dengan profesional, saya rasa pihak KBS atau PJS perlu campur tangan, biar badan berkecuali yang menguruskan isu ini,” kata Megat.

"Saya pun tidak faham mengapa mereka berbuat demikian. Mereka sudah bersihkan nama MPM dengan baik tetapi kini mengulangi kesilapan sama. Sepatutnya mereka perlu profesional."

Kenyataan Megat itu bagi menjawab pertanyaan media berhubung isu pencalonan pencabarnya, bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang boleh dipersoalkan.

Meskipun sudah disahkan layak bertanding, pencalonan Khairy menjadi buah mulut kerana didakwa terlewat sehari menghantar borang pencalonan selepas tarikh akhir 14 Jun.

Pencalonan Khairy juga menimbulkan persoalan mengenai statusnya sama ada anggota dalam mana-mana persatuan sukan yang menganggotai MPM kerana perlembagaan badan itu menyatakan sesiapa juga calon bertanding perlulah menjadi anggota persatuan dan dicalonkan persatuan sukan di bawah MPM.

Namun, Khairy pada akhirnya dibenarkan bertanding selepas beliau disahkan sebagai Timbalan Presiden Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia yang telah dilantik pada AGM persatuan itu pada awal tahun ini.

"Be a gentleman (jadilah lelaki budiman). Nak bertanding itu hak semua orang tetapi ia perlu mengikut peraturan. Kalau tidak, kita gagal memberi imej yang baik kepada semua orang.

"Saya pun kena ikut peraturan. Kalau tidak saya juga tidak akan layak bertanding," katanya.

Berita Harian X