Khamis, 27 Jun 2019 | 10:37pm
Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin (kiri) dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar. - Foto NSTP
Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin (kiri) dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar. - Foto NSTP

'KJ hanya menjadi kambing hitam'

 

KUALA LUMPUR: Tahap kesabaran Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin sudah tidak dapat dibendung apabila tampil mendedahkan isu 'penipuan' sebenar dalam pencalonan untuk perebutan kerusi panas presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Jelas Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) itu, banyak bukti menunjukkan pencalonan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) adalah tidak sah dan tidak layak.

Ini kerana katanya, sebelum ini Khairy difahamkan tidak memegang apa-apa jawatan dalam persatuan sukan, namun ia sebaliknya berlaku.

Khairy menghantar pencalonan pada 15 Jun lalu atas kapasiti sebagai Timbalan Presiden Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia (MWRF).

Malah, beliau turut berkongsi tiga bahan bukti - dokumen palsu oleh MWRF, tiada langsung gambar menunjukkan KJ aktif dalam persatuan dan campur tangan Majlis Sukan Negara (MSN) - pada sidang media khas, hari ini.

"Saya mendapat bukti bahawa senarai Ahli Jawatankuasa MWRF 2018/2019 yang berlaku tahun lalu bahawa Tan Ah Bee adalah Timbalan Presiden, manakala bagi jawatan Naib Presiden 3 tertulis akan dilantik kemudian.

"Tetapi yang terbaharu Tan Ah Bee diturunkan pangkat sebagai Naib Presiden 3. Yang peliknya nama KJ pula sebagai Timbalan Presiden. Saya geli dan semua itu adalah toksik.

"Ia tidak mengikut perlembagaan. Yang sepatutnya jawatan itu (timbalan presiden) hanya boleh diisi apabila jika penama (Tan Ah Bee) meletak jawatan atau berhenti sahaja dan digantikan dengan calon yang tewas ketika AGM tahun lalu.

"Jika tidak tiada calon yang demikian atau calon menolak jawatan itu, pemilihan bagi mengisi kekosongan itu perlu dibawa ke dalam AGM akan datang," tegasnya.

Beliau hanya mahu isu ini diadili sebaik mungkin dan tidak berdepan masalah untuk menghadapi KJ sekiranya benar dia tidak bersalah.

"Saya memang geli dengan situasi ini. Saya tidak kisah kalau pencalonan ini diteruskan tetapi, adakah anda mahu seorang presiden yang menipu?

"Buat perangai macam ini bermakna mengheret semua atlet ke longkang. Saya berharap sangat agar persatuan-persatuan lain tidak ada perangai seperti ini.

"Mungkin ada pihak tidak senang dengan kehadiran saya, tetapi saya ingin jelaskan bahawa saya tidak ada apa-apa kepentingan dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS), tak ada sebarang projek dan sebagainya," katanya.

Selain itu, Megat turut percaya KJ hanya menjadi 'kambing hitam' bagi memenuhi kehendak pihak tertentu.

"Saya hanya ingin menyumbang. Saya yakin KJ hanya menjadi 'kambing hitam' oleh sahabatnya.

"Pesanan saya kepada KJ, jika anda mempunyai kawan yang ingin membantu tetapi akhirnya menyusahkan anda? Buat apa. Itu bukan kawan sebenar."

Berita Harian X