Ahad, 30 Jun 2019 | 3:23pm
Skuad hoki wanita negara melonjak dua anak tangga ke kedudukan ke-20 dunia. - NSTP/Syarafiq Abd Samad
Skuad hoki wanita negara melonjak dua anak tangga ke kedudukan ke-20 dunia. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Ranking skuad hoki wanita naik

KUALA LUMPUR: Kejayaan meraih tempat ketiga dalam kempen Pusingan Akhir Siri FIH di Banbridge, Ireland Utara pertengahan bulan ini berjaya melonjakkan ranking skuad hoki wanita negara.

Pengumuman itu dibuat Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) pagi tadi yang menyaksikan ranking Malaysia melonjak dua anak tangga ke kedudukan ke-20 dunia.

Ia kali pertama dalam sejarah skuad Malaysian Tigress mencapai ranking setinggi itu sekali gus menyalakan semula impian untuk menyambar tiket ke pusingan kelayakan akhir Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ketua jurulatihnya, Dhaarma Raj Abdullah yang dihubungi gembira dengan perkhabaran itu dan mengakui peningkatan ranking itu sudah tentu menghidupkan kembali peluang pasukannya.

"Seperti yang saya cakap sebelum ini, penting untuk kita meraih tempat ketiga di Ireland bagi memastikan kita boleh memintas Republik Czech dan Belarus.

"Memang kita masih belum mampu potong Scotland di kedudukan ke-19 tetapi harus diingat Scotland tidak akan beraksi di Olimpik kerana mereka menjadi sebahagian daripada Great Britain.

"Ia bermakna Malaysia kini secara tak langsung menjadi pasukan ranking ke-19 bagi kelayakan Olimpik dan kalau ikutkan perkiraan saya pasukan ke-19 akan layak menerusi tiket empat pasukan ranking terbaik," katanya.

Anak buah Dhaarma yang mengumpul 708 mata keseluruhan iaitu pertambahan sebanyak 94 mata berbanding sebelum ini, untuk terus kekal sebagai pasukan kelima terbaik Asia.

Ia bagaimanapun cukup untuk memastikan mereka memintas Republik Czech yang ditewaskan dalam penentuan tempat ketiga di Banbridge serta Belarus yang sebelum ini menghimpunkan mata lebih tinggi.

Cumanya, Dhaarma berkata, pasukannya tidak boleh terlalu yakin dengan kedudukan berkenaan memandangkan pasukannya kini hanya dipisahkan lima mata dengan Czech di kedudukan ke-21.

"Kejuaraan Eropah hanya akan berlangsung pada Julai nanti, jadi dari sana baharu kita tahu bagaimana peluang untuk layak. Itupun bergantung pada kedudukan penamat Czech dalam kejuaraan terbabit," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X