Selasa, 9 Julai 2019 | 10:40pm
Penaja bersama penganjur pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Ultra Trail (CULTRA) di The Love Matic. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon
Penaja bersama penganjur pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Ultra Trail (CULTRA) di The Love Matic. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

CULTRA 2019 fokus keselamatan peserta

KUALA LUMPUR: Acara sukan rentas denai, Cameron Ultra Trail (CULTRA) 2019 bakal memasuki edisi keempatnya pada 27 hingga 28 Julai ini di Cameron Highlands dengan jumlah penyertaan mencecah 2,040 peserta dari dalam dan luar negara. 

"Daripada jumlah itu, 350 hingga 400 (peserta) adalah daripada luar negara dengan paling ramai dari Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina," kata Pengarah Acara, Zulkiflee Zainal kepada media selepas majlis sidang media acara itu, hari ini. 

CULTRA 2019 menyediakan empat kategori iaitu 100 kilometer (km), 55km, 30km dan 15km. Peserta bakal melalui laluan berbukit, merentasi kebun teh dan denai hutan - satu pengalaman yang pastinya menguji ketahanan fizikal dan mental. 

Selain perlumbaan itu sendiri, acara ini juga menawarkan aktiviti pra-perlumbaan seperti Pasar Tempatan CULTRA, Jamuan Teh CULTRA, persembahan tempatan dan banyak lagi. 

Pasar Tempatan CULTRA akan mempamerkan produk tempatan dan Jamuan Teh CULTRA mengumpulkan pelari untuk sesi suai kenal sambil dihiburkan dengan persembahan sekolah tempatan. 

Di samping itu, CULTRA juga akan menyumbang kepada masyarakat setempat menerusi inisiatif CSR. 

Daripada sudut keselamatan peserta, Zulkiflee berkata: "Kami mempunyai 'marshall' dan krew seramai 250 orang. Krew dan marshall ditugaskan di sepanjang laluan dan kami ada SOP (prosedur operasi standard) yang menentukan jumlah peserta yang lalu di setiap 'checkpoint'.

"Daripada situ, kami sudah boleh mengenalpasti lebih awal jika ada potensi untuk kehilangan peserta ataupun jumlah yang terkandas di hutan ataupun gunung."

Berita Harian X