Khamis, 11 Julai 2019 | 12:09am
Penerjun negara Pandelela Rinong Pamg yang bakal membuat penampilan semula di pentas kompetitif antarabangsa. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Pandelela buru tiket Olimpik

KUALA LUMPUR: Penerjun negara Pandelela Rinong Pamg yang bakal membuat penampilan semula di pentas kompetitif antarabangsa, tidak sabar untuk beraksi pada Kejohanan Dunia FINA ke-18 di Gwangju, Korea Selatan bermula Jumaat ini.

Pandelela yang berehat panjang sejak mengalami kecederaan belakang pada Sukan Asia di Indonesia, Ogos tahun lalu membuat kemunculan sulung yang menjadi pentas pemburuan kelayakan pertama ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

Ketika ditanya sama ada gemuruh untuk tampil semula, Pandelela berkata: "Sekarang ini saya sebenarnya rasa teruja untuk bertanding."

"Saya harap dapat melayakkan diri ke Olimpik."

Pandelela mula menjalani latihan beberapa bulan lalu termasuk mengikuti kem latihan bersama skuad terjun negara di Wuhan, China bulan lalu.

Pandelela yang bergandingan dengan Leong Mun Yee melakar sejarah sebagai penerjun pertama negara memperoleh pingat pada Kejohanan Dunia 2009 di Rome dengan menghadiahkan gangsa.

Tidak terhenti di situ, gandingan Pandelela-Mun Yee sekali lagi membawa pulang gangsa pada Kejohanan Dunia 2013 di Barcelona diikuti pingat gangsa dalam acara 10m platform individu pada 2015 di Kazan dan juga gangsa bergandingan dengan Cheong Jun Hoong pada 2017 di Budapest.

Pada kejohanan kali ini, Pandelela akan turun dalam acara 10m paltform individu dan juga seirama, berpasangan dengan gandingan lamanya, Mun Yee apabila gandingan asalnya, Kimberly Bong mengalami kecederaan bahu ketika kem latihan di Wuhan.

Pada kejohanan ini, tiga pasangan terbaik dalam acara seirama akan memperoleh tiket awal ke Olimpik sementara 12 penerjun terbaik acara individu akan memperoleh tiket dalam acara masing-masing.

596 dibaca
Berita Harian X