Khamis, 11 Julai 2019 | 12:49pm
Pengerusi YAKEB Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed. - Foto Nurul Shafina Jemenon
Pengerusi YAKEB Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed. - Foto Nurul Shafina Jemenon

YAKEB jual emas tambah dana bantu atlet

KUALA LUMPUR: Rancangan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) mengumpul dana bagi membantu bekas atlet dengan menjual kepingan emas seberat 0.5 gram bakal direalisasikan dalam masa terdekat.

Pengerusi YAKEB Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata kepingan emas berkenaan didatangkan dalam bentuk seperti kad merupakan inisiatif bagi memperingati perjuangan legenda sukan negara.

Sebagai pengenalan, beliau berkata YAKEB menyenaraikan tiga atlet legenda kebangsaan iaitu bekas jaguh bina badan Datuk Abdul Malek Noor, Olahragawati Kebangsaan, Datuk M Rajamani dan jaguh berbasikal, Datuk Ng Joo Ngan. 

“Emas itu akan mempamerkan wajah bekas-bekas atlet negara berserta catatan prestasi cemerlang pencapaian mereka,” katanya kepada Bernama hari ini.  

Sementara itu, Noorul berkata setakat ini, YAKEB mempunyai 2,585 ahli, terdiri daripada 91 bekas atlet  kelainan upaya (OKU) dan 2,494 atlet normal.   

Menurut Noorul, sehingga Jun ini, YAKEB mencatatkan pengeluaran wang sejumlah kira-kira RM600,000 bagi tujuan menampung kos perubatan bekas atlet dan bantuan kewangan sebanyak RM74,000.

Katanya kerajaan telah memperuntukkan dana RM3 juta kepada YAKEB sebagai tanda keprihatinan kepada bekas atlet kebangsaan.

YAKEB sebelum ini mengumumkan ‘Tabung YAKEB for X-Athletes’ selepas mendapat kerjasama daripada Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) yang telah meletakkan sebanyak 70 tabung kutipan di sekitar Lembah Klang. 

Sebagai usaha memastikan kebajikan bekas atlet terjamin, beliau berkata YAKEB akan memulakan jerayawara sulungnya bermula di Negeri Sembilan, 20 Julai ini dan akan bergerak ke negeri lain bagi menggalakkan pendaftaran atlet yang bersara.    

“Atlet yang akan bersara juga diminta segera berdaftar dengan YAKEB jika mahu kebajikan mereka terpelihara,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X