Khamis, 11 Julai 2019 | 11:42pm
JURULATIH terjun negara, Christian Brooker. NSTP/Saddam Yusoff

Peluang rebut slot awal ke Tokyo 2020

KUALA LUMPUR: Kem terjun negara diharap dapat menggunakan sepenuhnya peluang beraksi di Kejohanan Terjun Dunia FINA ke-18 di Gwangju, Korea Selatan yang bermula esoki agar dapat melayakkan diri lebih awal ke temasya Sukan Olimpik 2020.

Ketika membuat gesaan itu, jurulatih terjun negara, Christian Brooker berkata misi pihaknya ke kejohanan berkenaan adalah untuk mendapat sebanyak mungkin slot ke Tokyo bagi mengurangkan tekanan pada aksi Piala Dunia tahun depan.

“Sebelum ini sasaran kita adalah memenangi pingat menerusi acara 10 meter (m) seirama wanita tetapi sasaran itu jika Cheong Jun Hoong berada dalam keadaan cergas. Tapi kini tidak lagi. Jadi, kami perlu menyesuaikan diri dan lakukan yang terbaik dengan pasukan yang ada," katanya.

Mengulas lanjut, Brooker berkata peluang terbaik buat kem terjun negara ketika ini adalah menerusi acara 3m papan anjal individu wanita dan 3m papan anjal individu lelaki serta 10m platform individu wanita.

Katanya, Kejohanan Terjun Dunia yang akan membuka tirainya esok bakal turut menyaksikan penampilan Muhammad Syafiq Puteh di pusingan kelayakan dalam acara 1m papan anjal individu lelaki.

"Saya mahu Syafiq melakukan terjunan dengan yakin seperti ilakukannya dalam sesi latihan. Jika dia dapat memberikan tumpuan terhadap proses itu, kita akan gembira dengan hasilnya," katanya mengulas mengenai Syafiq.

Pada kejohanan ini, tiga gandingan terbaik dalam acara seirama akan memperoleh tiket awal ke Olimpik selain 12 penerjun terbaik acara individu.

723 dibaca
Berita Harian X