Sabtu, 13 Julai 2019 | 11:13pm
Gandingan penerjun negara, Yiwei Chew dan Ooi Tze Liang beraksi pada Kejohanan Terjun Dunia FINA ke-18 di Gwangju, Korea Selatan sebentar tadi. - Foto EPA

Tze Liang, Chew Yiwei tercorot terjun dunia FINA

KUALA LUMPUR: Gandingan penerjun negara, Ooi Tze Liang dan Chew Yiwei menduduki tangga tercorot final acara 3 meter papan anjal seirama lelaki pada Kejohanan Terjun Dunia FINA ke-18 di Gwangju, Korea Selatan sebentar tadi, sekali gus meleburkan hasrat mereka layak ke Sukan Olimpik 2020 lebih awal.

Tze Liang-Yiwei yang memperoleh pingat gangsa pada Grand Prix (GP) Kanada, April lalu, hanya mampu mengumpul 357.30 mata menerusi enam terjunan di Pusat Akuatik Perbandaran Universiti Nambu yang membabitkan saingan 12 peserta.

Menduduki tempat ke-11 pada pusingan kelayakan terdahulu, gandingan negara jauh ketinggalan di belakang pemenang dari China, Xie Siyi-Cao Yuan yang juga merangkul pingat emas Sukan Asia 2018 Indonesia apabila mengumpul 439.74 mata.

Penerjun Britain, Jack Laugher yang bergandingan dengan Chris Mears memenangi pingat emas 3m papan anjal seirama Sukan Olimpik 2016 Rio, masih menunjukkan taring apabila menduduki tangga kedua dengan 415.02 mata biarpun berpasangan dengan Daniel Goodfellow.

Tempat ketiga menjadi milik gandingan Mexico, Juan Manuel Celaya Hernandez-Yahel Castillo Huerta yang memperoleh 413.94 mata. Hanya tiga gandingan terbaik akan memperoleh tiket ke Olimpik 2020 di Tokyo.

Esok sandaran negara kepada Pandelela Rinong Pamg yang bergandingan semula dengan Leong Mun Yee. Mereka pernah mencipta sejarah sebagai penerjun pertama negara memperoleh pingat pada Kejohanan Dunia 2009 di Rom dengan menghadiahkan gangsa.

225 dibaca
Berita Harian X