Ahad, 14 Julai 2019 | 10:30pm
Pasangan terjun negara, Pandelela Rinong-Leong Mun Yee menunjukkan pingat perak yang dimenangi dalam acara 10 meter platform seirama pada Kejohanan Terjun Dunia FINA ke-18 di Gwangju, Korea Selatan sekali gus meraih tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. - Foto Twitter MSN

Pandelela-Mun Yee menang perak Kejohanan Dunia, tiket Tokyo 2020

KUALA LUMPUR: Pasangan terjun negara, Pandelela Rinong-Leong Mun Yee cemerlang apabila berjaya meraih tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ia susulan kejayaan pasangan negara itu meraih pingat perak acara 10 meter platform seirama pada Kejohanan Terjun Dunia FINA ke-18 di Gwangju, Korea Selatan, sebentar tadi.

Pandelela-Mun Yee mengumpul 312.72 mata untuk menamatkan saingan di tempat kedua di belakang gandingan China, Lu Wei-Zhang Jiaqi yang meraih emas selepas mengutip 345.24 mata.

Pingat gangsa diraih pasangan Amerika Syarikat, Samantha Bromberg-Katrina Young dengan mengutip 304.86 mata.

Ini adalah kali ketiga gandingan Pendelela-Mun Yee berjaya menjelmakan kilauan pingat buat skuad terjun negara pada kejohanan dunia selepas meraih gangsa pada edisi 2009 di Rom dan 2013 di Barcelona.

“10 tahun lalu kami berjaya memenangi gangsa dan kali ini kami berjaya memenangi perak. Syukur kepada Tuhan di atas kejayaan dan terima kasih kepada semua yang sentiasa memberi sokongan.

“Akhir sekali, terima kasih kepada pasangan saya yang memberikan aksi terbaik dan percaya dengan perhubungan ini,” kata Pendelela menerusi laman Instagram miliknya.

Gambar fail, pasangan terjun negara, Pandelela Rinong-Leong Mun Yee di Siri Terjun Dunia FINA di Kazan, Rusia pada 2016.

Berita Harian X