Selasa, 16 Julai 2019 | 12:02pm
Penerjun negara Pandelela Pamg dan Leong Mun Yee (kanan). - Foto AFP

Ia lebih istimewa - Mun Yee

 

KUALA LUMPUR: Kemenangan lebih manis dan istimewa.

Itu yang diluahkan penerjun negara, Leong Mun Yee apabila menghadiahkan pingat ketiga menerusi gandingan magisnya bersama Pandelela Rinong Pamg pada Kejohanan Dunia FINA ke-18 ketika memenangi perak acara 10 meter platform seirama wanita di Gwangju semalam.

Kejayaan itu juga menghadiahkan tiket awal buat pasangan negara ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

Kemenangan itu lebih manis kerana ia berulang selepas 10 tahun gandingan itu melakar sejarah sebagai penerjun pertama negara memenangi pingat di Kejohanan Dunia di Rome dengan gangsa dan sekali lagi mereka memenangi pingat sama pada 2013 di Barcelona.

Mun Yee dan Pandelela kembali digandingkan sejak tiga minggu lalu disebabkan gandingan asal Pandalela, Kimberly Bong mengalami kecederaan bahu ketika kem latihan di Wuhan, China.

"Nak dapatkan keserasian dengan Lela bukan susah sebab dulu saya sudah biasa digandingan bersama dan hanya beberapa kali latihan sahaja kami sudah dapat 'klik' (keserasian).

"Kemenangan semalam adalah ulangan kepada kemenangan manis pada Kejohanan Dunia 2009 dan 2013 tetapi lebih manis dan istimewa kerana sebelum ini kami memenangi gangsa dan kini perak. Lebih manis kerana ini adalah untuk kelayakan ke Olimpik tahun hadapan," katanya kepada BH Sukan. 

Kejayaan Mun Yee-Pandelela pada Kejohanan Dunia kali ini bagaimanapun belum menjamin kemaraan mereka ke Tokyo kerana jurulatih akan memutuskan gandingan akan diturunkan pada Olimpik nanti.

"Saya rasa awal lagi untuk bercakap mengenai pingat pada Olimpik kerana misi kami pada Kejohanan Dunia kali ini adalah untuk mendapatkan tempat ke Olimpik dahulu buat negara. Selepas layak, kami perlu teruskan usaha mendapat tempat ke sana dan terakhir sekali mendapatkan pingat," katanya.

Jika sekali lagi terpilih, Mun Yee bakal menjadi atlet pertama negara tampil dalam lima edisi temasya Olimpik.

"Saya kena berusaha lebih keras kerana kalau pergi ke Olimpik, sasaran akhir adalah memenangi pingat, jadi memang tiada jalan pintas selain bekerja keras dan paling penting tidak mengalami kecederaan sebelum Olimpik," katanya yang akan turun dalam satu lagi acara berpasukan esok.

Kali terakhir bergandingan dua tahun lalu, Pandelela berkata mereka menjalani latihan keras ketika kembali bersama.

"Memang latihan amat teruk tetapi macam ajaib pula kerana masa saingan semalam semua terjunan kami lakukan menjadi.

"Saya merakamkan pujian terhadap Mun Yee kerana dia membuat yang terbaik daripada sesi latihan sebelum ini," katanya yang tidak mahu terlalu awal memikirkan mengenai Olimpik Tokyo.

1138 dibaca
Berita Harian X