Selasa, 16 Julai 2019 | 5:18pm
PENERJUN negara, Pandelela Rinong. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Lela tempah tiket kedua ke Tokyo

KUALA LUMPUR: Penerjun negara, Pandelela Rinong menempah tiket kedua ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila menduduki tempat kesembilan acara 10 meter platform individu separuh akhir Kejohanan Akuatik Dunia FINA ke-18 di Gwangju, Korea Selatan sebentar tadi.

Seramai 12 daripada 18 peserta terbaik yang beraksi di peringkat separuh akhir itu akan layak ke final esok selain tiket beraksi di temasya berprestij berkenaan.

Pandelela mengumpul 312.70 mata selepas lima terjunan untuk menduduki tempat kesembilan.

Penerjun  China, Chen Yuxi dan Lu Wei mengungguli saingan separuh akhir itu apabila masing-masing mengumpul 407.95 dan 370.85 mata manakala Caeli McKay dari Kanada ketiga 356.70 mata.

Kelmarin, Pandelela yang meraih gangsa dalam acara yang sama di temasya Olimpik London 2012, membantu skuad terjun negara meraih slot pertama ke temasya itu dalam acara 10m platform terjun seirama bersama Leong Mun Yee apabila memenangi perak.

 

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X