Rabu, 17 Julai 2019 | 9:10pm
PENERJUN negara, Chew Yiwei. - Foto Yazit Razali
PENERJUN negara, Chew Yiwei. - Foto Yazit Razali

Belum rezeki Yiwei, Tze Liang layak awal ke Olimpik

KUALA LUMPUR: Perasaan gementar membawa padah kepada penerjun negara, Chew Yiwei, apabila terlepas peluang layak secara merit ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo dalam acara 3 meter (m) papan anjal individu lelaki.

Pada Kejohanan Terjun Dunia FINA ke-18 di Gwangju, Korea Selatan, hari ini, penerjun pingat gangsa Sukan Asia 2018 itu hanya mampu menduduki tempat ke-41 daripada 57 peserta dengan mengumpul 332.65 mata selepas enam terjunan.

Dalam pada itu, rakan senegara pula, Ooi Tze Liang mengakhiri saingan di tangga ke-25 selepas mengumpul 376.95 mata.

Sebagai rekod, 12 penerjun terbaik dalam acara indvidu pada kejohanan itu secara automatik memperoleh tiket ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

Sementara itu, Yiwei mengakui berasa gementar selepas terjunan pertama kerana terdesak untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

PENERJUN negara, Ooi Tze Liang. - Foto Yazit Razali
PENERJUN negara, Ooi Tze Liang. - Foto Yazit Razali

”Persembahan saya lebih buruk hari ini berbanding semasa latihan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Penerjun China, Xie Siyi menungguli pusingan kelayakan dengan 499.15 mata diikuti wakil Great Brirain, Jack Laugher dengan 485.50 mata manakala tempat ketiga disandang oleh penerjun Korea Selatan, Woo Ha-ram dengan 457.70 mata.

Sejumlah 18 penerjun terbaik mara ke pusingan separuh akhir dan 12 penerjun layak ke final.

Bagaimanapun, Yiwei masih mempunyai peluang memburu slot ke Sukan Olimpik pada Kejohanan Terjun Piala Asia di Kuala Lumpur pada September ini dan Piala Dunia 2020, April depan.

Beliau berkata misi utama tahun ini adalah layak ke Sukan Olimpik 2020 selepas gagal layak ke Sukan Olimpik Rio 2016.

“Piala Dunia tahun depan adalah peluang terakhir untuk layak ke Sukan Olimpik...itulah misi latihan saya selama ini," katanya penerjun berusia 23 tahun itu.

-- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X