Rabu, 17 Julai 2019 | 10:39pm
PENERJUN Malaysia, Pandelela Rinong. NSTP/Aizuddin Saad

Tiada pingat dari Pandelela hari ini

KUALA LUMPUR: Pandelela Rinong Pamg tidak dapat menghadiahkan satu lagi pingat buat negara pada Kejohanan Terjun Dunia FINA ke-18 di Gwangju, Korea Selatan apabila menamatkan acara akhir 10 meter platform individu wanita hari ini, pada kedudukan kelima.

Dia memulakan terjunan pertama dengan mencatatkan 70.50 mata untuk berada di kedudukan pertama sebelum melonjak naik ke kedudukan kedua dengan 73.95 mata di belakang penerjun China, Chen Yuxi (88.00 mata) pada terjunan kedua.

Terjunan ketiga pula menyaksikan penerjun Amerika Syarikat, Delaney Schnell beraksi cemerlang dengan merekodkan 82.50 mata menyebabkan Pandelela jatuh ke kedudukan kelima apabila memperoleh 70.40 mata.

Pada terjunan keempat, Pandelela sekadar memperoleh 62.40 mata untuk turun satu lagi kedudukan di tempat keenam sebelum mencatatkan 72.00 mata pada terjunan kelima untuk mengakhiri saingan di tempat kelima dengan keseluruhan 349.25 mata.

Tembok Besar China masih belum mampu dipecahkan oleh mana-mana penerjun dengan Chen Yuxi unggul dalam setiap terjunan untuk meraih emas menerusi himpunan 439.00 mata diikuti rakan senegaranya, Lu Wei (377.80 mata) untuk pingat perak. Gangsa pula menjadi milik penerjun Amerika Syarikat, Delaney Schnell dengan 364.20 mata.

Seramai 12 penerjun yang mara ke final dalam acara individu sudah memperoleh tiket awal ke Olimpik 2020 Tokyo dengan Pandelela yang bergandingan bersama Leong Mun Yee menyumbang perak dalam acara 10m platform seirama pada Ahad lalu sekali gus layak ke Tokyo.

Terdahulu di sebelah pagi, dua penerjun lelaki negara Ooi Tze Liang dan Chew Yiwei gagal layak ke separuh akhir 3 meter papan anjal individu apabila gagal menempatkan diri dalam kelompok 18 terbaik sekali gus melenyapkan impian mereka untuk memperoleh tiket awal ke Tokyo.

Pusingan kelayakan itu menyaksikan Tze Liang menamatkan saingan di kedudukan ke-25 dengan 376.90 mata sementara Yiwei di tempat ke-41 dengan 332.65 mata selepas enam terjunan.

Acara itu menyaksikan penerjun China, Xie Siyi mendahului dengan 499.15 mata diikuti penerjun Britain, Jack Laugher 485.50 dan Woo Haram juga dari China dengan 457.70 mata.

Skuad terjun negara masih ada dua lagi kejohanan menawarkan tiket ke Olimpik iaitu Kejohanan Asia di Kuala Lumpur dari 6 hingga 8 September, selain Piala Dunia di Tokyo pada April tahun depan.

Esok, Nur Dhabitah Sabri dan juga Wendy Ng akan bertanding dalam acara 3m papan anjal individu wanita dalam pusingan kelayakan bagi menempatkan diri dalam 18 kelompok terbaik ke pusingan separuh akhir.

548 dibaca
Berita Harian X