Khamis, 18 Julai 2019 | 5:39pm
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melawat Pusat Perubatan Sukan Negara, Institut Sukan Negara Bukit Jalil. - Foto Asyraf Hamzah
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melawat Pusat Perubatan Sukan Negara, Institut Sukan Negara Bukit Jalil. - Foto Asyraf Hamzah

Menteri minta PSM, MSN selesai isu Syahir, Zulkifli

KUALA LUMPUR: Dua tekong utama, Mohd Syahir Rosdi dan Muhammad Zulkifli Abd Razak yang mengumumkan persaraaan daripada skuad sepak takraw negara kemugkinan besar akan kembali memperkuatkan pasukan berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan (MSN), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata beliau sudah mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) mengadakan rundingan bagi menyelesaikan konflik membabitkan kedua-dua pemain berkenaan dengan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

"Saya ambil perkara ini dengan serius kerana ini membabitkan atlet terbaik negara yang sudah mengharumkan negara. Saya sudah mengarahkan MSN untuk mengadakan rundingan. Saya difahamkan dalam tempoh terdekat kita akan mencapai persetujuan dan menyelesaikan masalah yang dibangkitkan.

"Keutamaan saya adalah kedua-dua pihak dapat harmonikan keadan. Jika ada masalah sekalipun jangan sampai menggadaikan kepentingan sukan negara khususnya sepak takraw yang dalam proses untuk kembali mengaum semula.

"Jadi, kita tidak boleh berdepan dengan masalah ini sekarang," kata Syed Saddiq pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Perubatan Sukan Negara di Insititut Sukan Negara (ISN) di sini, hari ini.

Syahir dan Zulkifli sebelum itu digugurkan oleh PSM atas alasan disiplin tetapi kedua-dua pemain berkenaan menafikan dakwaan itu sehingga membuat membuat keputusan untuk bersara, minggu lalu.

Syahir memainkan peranan penting dalam membantu Malaysia menamatkan kemarau 10 tahun dengan memenangi pingat emas Sukan SEA pada 2015 diikuti edisi 2017.

Gandingannya bersama Zulkifli menamatkan kemarau 24 tahun untuk emas sepak takraw di Sukan Asia tahun lalu selepas kali terakhir muncul juara di Hiroshima pada 1994.

Ditanya sama ada kedua-dua pemain berkenaan akan kembali bersama skuad kebangsaan menerusi rundingan yang dijalankan, Syed Saddiq berkata: "InsyaAllah, apa-apa pun tunggu kenyataan yang akan dikeluarkan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dalam masa terdekat," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X