Sabtu, 20 Julai 2019 | 12:44am

Malaysia hampir layak Piala Dunia Hoki Dalam Dewan 2021

KUALA LUMPUR: Skuad lelaki negara kini semakin hampir untuk membuat penampilan pertama pada saingan Piala Dunia Hoki Dalam Dewan 2021.

Ini selepas pasukan Malaysia melangkah ke separuh akhir selepas mengalahkan Thailand 2-1 dalam saingan Piala Asia Dalam Dewan 2019 di Chonburi, malam tadi. Dua pasukan terbaik kejohanan ini akan layak ke Piala Dunia.

Dalam saingan bagi Kumpulan A itu, skuad negara membuka jaringan melalui Muhamad Aminudin Mohd Zain yang menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-15, sebelum pemain berusia 24 tahun itu, menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-37 melalui pukulan sudut penalti.

Thailand cuba untuk bangkit melalui gol padang menerusi Warun Boonpea pada minit ke-38, namun ia masih gagal mengubah keputusan akhir.

Selepas mengalahkan Bangladesh 6-0, membelasah Filipina 20-1, sebelum tewas kepada juara bertahan Iran, Malaysia kini berada di tempat kedua dengan sembilan mata, tiga mata di belakang Iran, diikuti Thailand (6), Bangladesh (3) dan Filipina (0).

Malaysia dijadualkan untuk bertemu pasukan teratas Kumpulan B, Kazakhstan pada Sabtu, sementara pasukan wanita yang layak ke separuh akhir selepas menduduki tempat kedua Kumpulan B semalam, juga akan berhadapan pasukan wanita dari negara sama.

Hanya pasukan yang layak ke perlawanan akhir bagi lelaki dan juara bagi wanita, akan menempah tiket ke Piala Dunia Dalam Dewan 2021.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan lelaki dan wanita negara tidak pernah layak bermain di Piala Dunia Dalam Dewan, sejak piala empat tahun sekali itu diperkenalkan pada tahun 2003.

-- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X