Isnin, 22 Julai 2019 | 7:33pm
KETUA jurulatih negara, Roelant Oltmans. - Foto Asyraf Hamzah

Siri jelajah Eropah medan terbaik persiapan skuad hoki

KUALA LUMPUR: Skuad hoki negara diyakini mendapat manfaat daripada siri jelajah Eropah bermula Khamis ini selepas semua pasukan akan ditemui dijangka menurunkan barisan terbaik.

Malaysian Tigers berlepas semalam dan akan turun pada perlawanan pertama menentang pasukan nombor tujuh dunia, Jerman Khamis ini.

Ia disusuli beberapa perlawanan lain membabitkan gergasi seperti Belanda (ketiga) dan Belgium (kedua).

Walaupun sekadar aksi persahabatan, ketua jurulatih negara, Roelant Oltmans percaya kesemua pasukan utama dunia itu akan menurunkan barisan terbaik sebagai persiapan akhir menghadapi Kejuaraan Eropah awal Ogos ini.

"Apa yang positifnya kesemua pasukan Eropah sedang melakukan persiapan rapi untuk Kejohanan Eropah yang turut menawarkan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Jadi pemain dalam pasukan yang akan kami temui nanti pasti sedang berada pada prestasi terbaik. Ia bukan sekadar perlawanan persahabatan tetapi aksi ujian untuk pasukan Eropah," katanya.

Malaysia yang ketika ini menduduki ranking ke-12 dunia dalam proses mempersiapkan diri ke pusingan kelayakan terakhir Sukan Olimpik 2020 pada Oktober ini.

Bagaimanapun, laluan berliku dijangka menanti skuad itu apabila berkemungkinan berdepan satu daripada empat gergasi dunia iaitu Great Britain, New Zealand, Sepanyol atau Kanada.

Jadi, Oltmans menganggap menjadi satu kerugian sekiranya anak-anak buahnya mensia-siakan peluang keemasan menimba pengalaman menentang pasukan besar.

 

 

Berita Harian X