Khamis, 25 Julai 2019 | 1:25pm
Chuan How (kiri) menyampaikan bantuan kepada bekas atlet berbasikal Perak, Wee Chung (tengah) sambil diperhatikan pegawai dari Majlis Sukan Negeri Perak di Ipoh hari ini - Ihsan Pejabat Howard Lee

Perak komited jaga kebajikan bekas atlet negeri

 

IPOH: Unit Kebajikan Bekas Atlet Perak yang ditubuhkan pada April lalu sudah memulakan proses pendaftaran bekas atlet dengan unit berkenaan bagi memastikan nasib bekas atlet yang pernah mengharumkan nama untuk negeri Perak terus mendapat pembelaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How, berkata penubuhan unit itu adalah inisiatif kerajaan negeri dalam membantu bekas atlet daripada segi kewangan, latihan, sara hidup dan sebagainya.

"Setiap  permohonan  bantuan yang diterima akan diberi  pertimbangan berdasarkan kepada  situasi individu berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Chuan How sebelum itu mengadakan kunjungan ke kediaman  bekas atlet berbasikal negeri era 1990-an, Chen Wee Chung dan menyampaikan sumbangan wang  tunai  berjumlah RM5,000 bagi meringankan beban hidup yang dihadapi Wee Chung. 

Wee Chung kini menghidapi jangkitan kuman serius (MRSA) mengakibatkan tulang kakinya mereput dan tidak boleh berjalan.

Beliau pernah mewakili Perak dan meraih tiga gangsa dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 1994 selain mewakili negara Kejohanan Remaja Asia.  

Wee Chung kemudian menyumbang keringatnya sebagai jurulatih sukan berbasikal negeri namun kemalangan motosikal dialami mengubah  hidupnya.

Chuan How berkata, Perak akan terus berusaha dalam memastikan kebajikan bekas atlet negeri ini sentiasa  dibela, dihargai dan mendapat bantuan sewajarnya atas sumbangan mereka.

 

Berita Harian X