Isnin, 5 Ogos 2019 | 7:27pm
SITI Safiyah Amirah Abdul Rahman beraksi pada Kejohanan Boling Antarabangsa Terbuka Malaysia ke-43 di Petaling Jaya. - Foto Aziah Azmee

Siti Safiyah sasar ulangi raih emas kejohanan boling dunia

KUALA LUMPUR: Selepas menjuarai Kejohanan Boling Antarabangsa Terbuka Malaysia ke-43, pemain elit negara, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman kini berazam untuk mengulangi pencapaian emas pada Kejohanan Wanita Dunia 2019 di Las Vegas, Amerika Syarikat, mulai 22 hingga 30 Ogos ini.

Selain sasaran mempertahankan pingat emas acara berpasukan, pemain berusia 28 tahun itu turut menyasarkan pingat dalam acara lain selepas merangkul pingat perak acara All-Events pada kejohanan dunia itu, pada 2017.

Pemain dari Selangor itu bersama Shalin Zulkefli, Sin Lin Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Natasha Roslan mengakhiri penantian 10 tahun apabila memenangi pingat emas pada kejohanan dunia itu selepas menewaskan Singapura di saingan final dengan keputusan 214-209, 188-177.

“Kami sedang melakukan latihan seracara intensif hampir sebulan dengan mencuba pelbagai corak lontaran dan lebih konsisten. Secara peribadi, saya mahu mencuba memenangi pingat dalam acara lain seperti acara individu, beregu atau trio...kalau boleh dalam semua acara,” katanya.

“Kami telah memenangi emas acara trio pada Sukan Asia 2018….oleh itu kami ada peluang di Las Vegas,” katanya selepas dinobatkan juara Terbuka Malaysia, malam tadi.

Siti Safiyah Amirah mengakhiri penantian selama 10 tahun untuk merampas semula kejuaraan Terbuka Malaysia buat kali kedua apabila mengalahkan rakan sepasukan negara, Natasha, 200-182 pada final step-ladder di Mega lanes, Sunway Pyramid, Bandar Sunway, dekat sini.

Pada Kejohanan Dunia di Las Vegas, Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) menyenaraikan Siti Safiyah, Li Jane, Natasha, Esther Cheah, Syaidatul Afifah dan pendatang baharu, Nerosha Keligit untuk menggalas cabaran negara pada kejohanan itu.

Sementara itu, ketua jurulatih, Holloway Cheah memberi peringatan bahawa ia bukan mudah untuk mempertahanklan gelaran dunia dengan tuan rumah, Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Singapura dijangka memberi tentangan sengit.

“Bukan mudah untuk mempertahankan gelaran tetapi kita akan mencuba yang terbaik kerana masih belum mengetahui corak lontaran akan diguna pakai kerana banyak pilihan.

“Ini adalah persediaan menghadapi Sukan SEA 2019 Filipina, November ini dan kejohanan dunia ini akan menjadi ukuran siapa yang bakal mewakili negara nanti,” katanya.

Beliau berkata prestasi semua pemain di Las Vegas akan diambil kira dalam menamakan skuad Sukan SEA Filipina manakala mereka yang tidak ke kejohanan dunia itu mempunyai peluang untuk membuktikan pada Kejohanan Terbuka Sarawak dari 7 hingga 10 September ini serta beberapa kejohanan lain.

Beliau berkata pihaknya berdepan dengan cabaran besar untuk menamakan skuad Sukan SEA Fili[pina memandangkan hanya empat pemain lelaki dan empat wanita akan menggalas cabaran negara pada temasya dwitahunan itu dari 30 November hingga 11 Disember ini.

-- BERNAMA

265 dibaca
Berita Harian X