Selasa, 6 Ogos 2019 | 10:38pm
DATUK Megat Zulkarnain Omardin bergambar bersama atlet renang ketika mengadakan lawatan persiapan atlet sukan renang, terjun dan olahraga di Bandar Sukan Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

Tiada atlet penumpang ke Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Biarpun kriteria penyenaraian atlet Kategori A ke Sukan SEA di Filipina hujung tahun ini dilonggarkan, Ketua Kontinjen Negara ke Sukan SEA Filipina 2019 Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata tiada atlet 'penumpang' yang akan disenaraikan dalam kontinjen kali ini.

Megat berkata dia bersetuju dengan keputusan melonggarkan kriteria penyenaraian atlet Kategori A pada temasya kali ini di mana atlet individu perlu sekurang-kurangnya memenangi pingat gangsa pada temasya lalu di Kuala Lumpur dan atlet acara berpasukan pula perlu menduduki sekurang-kurangnya tempat keempat.

Kriteria pemilihan atlet dalam Kategori A sebelum ini adalah atlet individu perlu sekurang-kurangnya memenangi pingat perak pada temasya lalu dan tempat ketiga bagi acara berpasukan.

"Satu keputusan yang cukup baik dan boleh merangsang atlet (melakukan lebih baik). Apabila melihat senarai nama kontinjen, saya lihat tiada atlet 'penumpang' yang setakat nak rasa suasana Sukan SEA.

"Semua sukan menghantar atlet mereka yang benar-layak bertanding," kata Megat selepas mengadakan lawatan persiapan atlet sukan renang, terjun dan olahraga di Bandar Sukan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Megat juga menjelaskan ketiadaannya pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan ke Sukan SEA 2019 yang diadakan minggu lalu adalah untuk mengelakkan daripada keputusan yang berpihak kepada mana-mana pihak namun pada masa yang sama masih mengambil tahu terhadap hasil keputusan mesyuarat.

"Saya tak mahu terbabit secara langsung kerana mahu keputusan dibuat kepada atlet selayaknya...Lebih baik saya 'di luar', jadi saya boleh memberi 100 peratus tumpuan terhadap persedaan kontinjen.

"Sebelum ini banyak persatuan meminta tolong kepada saya (menyenaraikan atlet mereka), jadi oleh kerana disebabkan itu juga saya buat keputusan untuk tidak turut serta," katanya.

Berita Harian X