Khamis, 8 Ogos 2019 | 7:01pm
Sidang media Team Malaysia, sukan terjun ke Sukan SEA 2019, Filipina, atlet, Chew Yiwei (kiri) dan Wendy Ng Yan Yee di MSN Bukit Jalil. - Foto Owee Ah Chun

Sukan SEA tetap 'istimewa' buat Wendy

 

KUALA LUMPUR: Biarpun sudah melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo, Wendy Ng akan diturunkan pada Sukan SEA di Filipina hujung tahun ini sambil melabelkan temasya itu adalah 'istimewa' untuk dirinya selepas mimpi ngeri terpalit dalam isu doping pada temasya lalu di Kuala Lumpur.  

"Saya sudah melayakkan diri ke Olimpik, jadi saya tak bagi fokus pada Piala Asia (di Kuala Lumpur pada bulan hadapan). Saya hanya bagi fokus pada Grand Prix dan juga Sukan SEA nanti," katanya di sini, hari ini.

Ketika ditanya maksud 'istimewa' dikatakannya, Wendy berkata: "Sukan SEA istimewalah (sambil tersenyum)." 

Pada temasya lalu, dua pingat emas dalam acara 3 meter papan anjal wanita individu dan seirama yang dimenangi Wendy ditarik selepas beliau didapati positif sibutramine dan dikenakan penggantungan lapan bulan.

Sementara itu, jurulatih terjun,  Christian Brooker berkata, Piala Asia pada 6-8 September ini di Kuala Lumpur dan tiga siri Grand Prix pada November adalah platform yang bagus buat penerjun negara dalam persiapan menghadapi Sukan SEA.

"Kami akan mendominasi setiap pingat emas yang ditawarkan dengan empat acara dipertandingkan bagi papan anjal," katanya.

Skuad terjun negara yang sering menjadi lubuk pingat emas pada Sukan SEA kehilangan lapan pingat emas selepas tuan rumah tidak menganjurkan acara platform seperti kebiasaan.

"Ada beberapa negara seperti Singapura, Indonesia dan Thailand sedang meningkat naik. Namun sekali lagi penerjun negara adalah sedikit lebih bagus," katanya.

 

 

209 dibaca
Berita Harian X