Jumaat, 9 Ogos 2019 | 12:20pm
PEMAIN ragbi Terengganu B-12 muncul juara Kejohanan Ragbi MSSM di Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu, semalam. - Foto ihsan Persatuan Ragbi Negeri Terengganu

Terengganu tamat kemarau ragbi MSSM

KUALA TERENGGANU: Terengganu mengakhiri kemarau kejuaraan lebih sedekad apabila menjuarai Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Bawah 12 Tahun selepas menundukkan finalis musim lalu, Perak 22-5 di Padang Sekolah Menengah Teknik Terengganu, semalam.

Kejutan yang dilakar skuad bimbingan Mohd Hilmi Mohamed Yusof yang hadir selaku pasukan bukan pilihan nyata memukau kem Perak kerana pada aksi peringkat kumpulan, Terengganu tewas 10-22 kepada skuad sama.

Kejayaan ini sekali gus menamatkan kemarau selama 12 tahun tanpa kejuaraan di peringkat kebangsaan selepas kali terakhir Terengganu menjulang trofi itu pada 2007. 

Lebih manis pemain Terengganu, Muhammad Arif Danial Zulkipeli dipilih pemain terbaik perlawanan akhir manakala rakan sepasukannya, Rafiq Hashimi Ariffin dinobatkan pemain terbaik keseluruhan Bawah 12 Tahun.

Terengganu dan Johor juga diumumkan sebagai juara keseluruhan bersama pada kejohanan yang bermula 3 hingga 8 Ogos itu.

Bagi kategori Bawah 18 Tahun, Johor merangkul kejuaraan selepas mudah menundukkan Negeri Sembilan 32 -15 manakala skuad Bawah 18 Tahun Terengganu muncul juara dalam final 'plate' selepas menumpaskan Melaka 12-7.

Pemain terbaik perlawanan akhir Bawah 18 menjadi milik pemain Johor, Danny Iskandar Shaharudin manakala rakan sepasukannya, Asrin Azman dan Nur Imran Mahmod masing-masing dipilih pemain terbaik keseluruhan dan pertahanan terbaik sementara penyerang terbaik adalah pemain Negeri Sembilan, Nuraiman Alif Amir.

"Kita berjaya memperbaiki corak permainan lebih kemas pada aksi final berbanding saingan peringkat kumpulan sebelum berjaya menamatkan kemarau kejuaraan selama 12 tahun.

"Kita menang kerana semangat selain pemain tidak tertekan serta berjuang habis-habisan dan memang kita terapkan nilai itu kepada mereka.

"Daripada segi corak permainan, anak-anak ini sudah kami terapkan dengan latihan yang cukup. Alhamdullilah, kita berjaya meraih gelaran sebagai juara," ujar Mohd Hilmi.

 

 

381 dibaca
Berita Harian X