Sabtu, 10 Ogos 2019 | 2:04pm
Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee ketika ditemui Bernama dalam satu temu bual khas sempena pembukaan pusat sukan elektronik (e-sukan) pertama di negeri ini pada Sabtu, di pejabat beliau di Seri Negeri, Ayer Keroh. - Foto BERNAMA

Melaka serius gilap atlet e-sukan

MELAKA: Penubuhan pusat sukan elektronik (e-sukan) pertama di Melaka membuktikan kerajaan negeri serius membangunkan industri itu sekali gus menjadi platform mencungkil dan melahirkan atlet berbakat yang mampu diketengahkan sehingga ke peringkat antarabangsa. 

Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee berkata pusat e-sukan Ancient Galaxy Esports Hub yang dibangunkan di Kota Syahbandar menerusi kerjasama syarikat swasta, Ancient Galaxy Sdn Bhd, dengan pelaburan kira-kira RM3 juta itu akan dirasmikan hari ini.

"Pusat e-sukan ini diuruskan Ancient Galaxy, kerajaan negeri pula bertanggungjawab menyediakan garis panduan merangkumi kaedah pengurusan, aktiviti, masa, kawasan operasi serta syarat am reka bentuk dan pengusaha pusat e-sukan perlu mematuhi syarat tersebut bagi memastikan objektif penubuhannya mencapai matlamat.

"Namun, paling penting, pusat e-sukan ini bakal menjadi medan untuk kami mencari bakat atlet yang mahir dalam industri ini bagi mewakili negeri atau negara pada kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuk Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Johor dari 11 hingga 19 Julai, 2020," katanya.

Beliau berkata pembangunan pusat e-sukan itu diyakini mampu memberi impak positif kepada pertumbuhan sosioekonomi negeri, lebih-lebih lagi bakal merancakkan sektor pelancongan sukan dengan menarik lebih ramai penggiat industri itu dari dalam dan luar negeri untuk datang ke Melaka.

Sementara itu, Kerk berkata antara cabaran perlu ditempuh dalam membangunkan pusat e-sukan adalah mengubah persepsi negatif orang ramai yang sering mengaitkannya dengan gejala dan permainan dalam talian yang tidak sihat selain menyebabkan individu itu ketagihan permainan video atau gaming disorder.

Katanya bagi mengubah pandangan negatif itu, Jawatankuasa Pemantau E-Sport (JPE-S) negeri Melaka melibatkan 12 anggota telah dibentuk dan jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan oleh beliau sendiri manakala Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Melaka Marina Nafi dilantik sebagai Setiausaha. 

"JPE-S bukan sahaja berperanan mengasingkan kafe siber dengan pusat e-sport bagi memastikan kualiti sukan itu terkawal, malah kami bersama pengusaha e-sukan turut sentiasa berusaha untuk mengubah persepsi itu dan meyakinkan kepada orang ramai bahawa e-sukan adalah industri sihat," katanya. 

Beliau berkata sebuah persatuan berjaya ditubuhkan sejak Mac lalu, iaitu Persatuan E-Sport Melaka Tengah dan pihaknya menyasarkan untuk membangunkan persatuan e-sukan di peringkat daerah lain seperti di Jasin dan Alor Gajah serta di peringkat negeri kerana peranan persatuan sangat penting sebagai 'jambatan' antara kerajaan dan atlet. 

Dalam pada itu, Pengarah Ancient Galaxy, Soon Cheeng Hong berkata pusat e-sukan Ancient Galaxy Esports Hub dibangunkan di tiga unit kedai dua tingkat yang mempunyai jumlah keseluruhan kira-kira 3,600 kaki persegi dan ruangan dalamnya disediakan 53 komputer peribadi (PC) serta lapan console PlayStation 4 (PS4). – BERNAMA

 

109 dibaca
Berita Harian X