Khamis, 15 Ogos 2019 | 10:52am
FOTO hiasan.

Larian triathlon Olimpik Tokyo hanya 5 km

TOKYO: Segmen larian kategori wanita dalam acara kelayakan Triathlon Olimpik Tokyo 2020 dipendekkan separuh jaraknya oleh penganjur temasya itu susulan kebimbangan suhu panas melanda Jepun.

Perlumbaan acara itu akan bermula jam 7.30 pagi waktu tempatan dan hanya membabitkan jarak 5 kilometer kerana pegawai kejohanan percaya suhu di Tokyo akan mencapai ‘tahap ekstrim’ pada penghujung saingan.

Perubahan jarak itu itu disahkan Kesatuan Triathlon Antarabangsa (ITU), hari ini.

Begitupun, tiada perubahan dilakukan dalam segmen renang dan kayuhan basikal triathlon Olimpik 2020 selepas ITU mendapati kualiti air di gelanggang pertandingan dekat Odaiba Park menepati piawaian.

Menurut peraturan ITU, jarak acara renang triathlon perlu dipendekkan atau dibatalkan sekiranya suhu air melebihi 30.9 darjah Celsius namun bacaan suhu air laut yang dilakukan hari ini pada bacaan 30.3 darjah Celsius.

Dengan tempoh temasya di Tokyo itu kurang setahun lagi untuk dilangsungkan, topik mengenai peningkatan suhu panas di Tokyo menjadi agenda utama kalangan atlet yang bakal mengambil bahagian.

Julai lalu, 57 kematian dilaporkan akibat cuaca panas melampau yang melanda Jepun sekali gus meningkatkan kebimbangan atlet mengenai perubahan suhu di temaysa itu kelak.

Minggu lalu, agensi berita Kyodo melaporkan beberapa atlet yang bertanding dalam Kejohanan Mendayung Remaja Dunia 2019 di Tokyo mengalami strok haba.

Sukan mendayung itu dianjurkan sebagai acara percubaan menjelang temasya sebenar di Olimpik 2020. – Reuters

Berita Harian X