Selasa, 20 Ogos 2019 | 7:02pm
FARINA Shawati Mohd Adnan

Farina tekad bangkit selepas elaun dipotong

KUALA LUMPUR: Pemotongan elaun latihan akibat gagal mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) segera menyedarkan pelumba berbasikal trek negara, Farina Shawati Mohd Adnan untuk mempamerkan persembahan terbaik pada Grand Prix (GP) Piala Trek Asia Tenggara di Velodrom Nasional Nilai, bermula Khamis ini.

"Memang memberi kesan, namun saya ambil perkara pemotongan elaun itu secara positif. Mungkin kalau tak dilakukan macam itu, kami tak akan sedar. Saya ambil positif, berlatih bersungguh-sungguh dan memperbaiki kesilapan yang dilakukan sebelum ini," katanya di sini hari ini.

Farina adalah antara 16 atlet yang dikenakan pemotongan elaun latihan akibat gagal mencapai KPI. Ia diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Program Podium pada awal bulan ini dengan dikenakan pemotongan sebanyak RM1,000 daripada elaun asal RM4,500.

Pelumba berusia 23 tahun itu berkata beliau kini menjalani latihan di Malaysia namun berdepan kesulitan apabila tidak mempunyai jurulatih tetap yang memantau latihan sejak awal tahun.

"Saya berdepan masalah sebab tiada pemantauan daripada jurulatih. Saya cuma harap dapat memperbaiki masa dan mengekalkan prestasi supaya dapat mencapai KPI yang ditetapkan iaitu berada di kedudukan tiga teratas dalam acara individu pecut dan keirin," katanya.

Farina bersama rakan akan menyertai Kejohanan GP Asia Tenggara di Nilai penghujung bulan ini disusuli Kejohanan Trek Asia di Korea Selatan pada Oktober.

Sebelum ini, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) memberi peluang terakhir kepada Farina dan tiga lagi pelumba lagi iaitu Fatehah Mustapa, Muhammad Khairil Nizam Rasol dan Mohamad Shariz Efendi Mohd Shahrin untuk memenangi pingat pada GP Piala Trek Asia Tenggara dan Kejohanan Trek Asia di Korea Selatan pada Oktober ini.

Mereka berdepan berkemungkinan digugurkan daripada skuad berbasikal elit negara seandainya gagal.

589 dibaca
Berita Harian X