Selasa, 20 Ogos 2019 | 9:37pm
SIDANG media Team Malaysia, sukan bola jaring ke Sukan SEA 2019, Filipina, dari kiri, atlet, ketua pasukan, An Najwa Azizan, Pengurus pasukan, Zainon Md Noh, jurulatih, Tracey Robinson dan Nur Syafazliyana Mohd Ali di MSN, Bukit Jalil. - Foto Owee Ah Chun

Pemain remaja perkukuh skuad bola jaring ke Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Kehadiran beberapa pemain bola jaring dari skuad remaja yang menjuarai Kejohanan Remaja Asia Julai lalu, diyakini mampu membantu skuad kebangsaan dalam misi mempertahankan pingat emas temasya Sukan SEA di Filipina, November ini.

Jurulatih pasukan kebangsaan, Tracey Robinson berkata gabungan pemain muda yang agresif dan lincah, bersama pemain berpengalaman, akan memberikan keseimbangan dalam pasukan.

“Saya gembira dengan komposisi skuad ini kerana enam atau tujuh pemain adalah pemain yang bermain di kejohanan Bola Jaring Remaja Asia dan menang.

“Jadi kita berada dalam kedudukan perkembangan yang bagus kerana kita mempunyai barisan pemain muda dan juga pemain berpengalaman dalam pasukan. Jadi ini satu gabungan yang bagus,” katanya dalam sidang media pasukan Malaysia di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.

Tracey juga berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan skuad kebangsaan di samping menunjukkan prestasi terbaik, apabila menjuarai perlawanan di Kejohanan Bola Jaring Empat Negara di Hong Kong dan Kejohanan Bola Jaring ‘Quadrangular’ di Sri Lanka pada Februari dan April tahun ini.

"Saya agak gembira dengan persiapan mereka untuk Sukan SEA, dengan beberapa kejohanan di Hong Kong dan Sri Langka. Dan saya yakin dengan persiapan yang perlu mereka ada,” katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan, Zainon Md Noh berkata menjelang aksi di Sukan SEA, skuad negara akan terbabit dengan beberapa lagi siri jelajah bermula Ogos hingga September ini.

“Buat masa yang terdekat ini, pasukan akan ke Perth bermula 27 Ogos hingga 2 September dan selepas itu kita akan ke Brisbane pada 10 hingga 17 September,” katanya.

Sementara itu, kapten pasukan Nursyafazliana Mohd Ali yakin pasukannya kini berada pada tahap bersedia untuk meneruskan misi mempertahankan emas, manakala bagi pemain tinggi lampai Ann Najwa Azizan pula, mengakui dirinya perlu terus tingkatkan kualiti latihan, dalam mempertahankan gelaran juara yang diperoleh.

“Ia sesuatu yang agak sukar kerana kami jadi juara. Saya percaya kalau kami berlatih untuk kekal prestasi sama, kami akan ke belakang. Jadi setiap kali berlatih kami kena set minda untuk tingkatkan prestasi, berbanding mengekalkan prestasi yang kami ada sekarang,” katanya.

Untuk rekod, skuad bola jaring negara menamatkan kemarau 16 tahun penantian pingat emas pada edisi 2017 di sini apabila berjaya menundukkan musuh tradisi, Singapura 65-41 pada perlawanan akhir.

-- BERNAMA

224 dibaca
Berita Harian X