Khamis, 22 Ogos 2019 | 7:08pm

Karnival ragbi terbesar kembali gegarkan Johor

JOHOR BAHRU: Kira-kira sebulan lagi menjelang Piala Dunia Ragbi Jepun 2019, para peminat ragbi di selatan tanah air dan seluruh negara akan dihidangkan aksi menarik di Karnival Ragbi Johor 2019 yang akan berlangsung dari 24 hingga 25 Ogos ini di Kompleks Sukan EduCity.

Memasuki edisi yang ke-10, Kesatuan Ragbi Johor selaku penganjur mendapat sokongan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Kesatuan Ragbi Malaysia dan Majlis Perbandaran Iskandar Puteri bagi menjadikan karnival mula dianjurkan sejak 2009 itu terus menjadi pentas mempromosi dan menyokong  pembangunan ragbi khususnya di Johor.

Untuk edisi tahun ini, tiga kategori lelaki akan diperkenalkan mengikut peringkat umur iaitu Piala Iskandar Investment Bhd (bawah-16), Piala Datuk Bandar MBIP (bawah-14) dan Piala Milo (bawah-11) sementara untuk kategori perempuan pula, mereka akan bertarung untuk Piala Iskandar Investment Bhd (bawah-16).

Antara pasukan bakal berentap di Karnival Ragbi Johor 2019 adalah Sekolah Sukan Negeri Tun Hussein Onn (Johor), SMK Sains Hulu Selangor (Selangor), KL Saracens (Selangor), Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Sekolah Sri Mersing (Johor), Akademi Ragbi Terengganu (Terengganu), Maktab Tentera Diraja (KL), SMK Sains Selangor (KL) dan Akademi Ragbi Selangor (Selangor).

Sementara itu, Kejohanan Ragbi 7s Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) akan turut berlangsung bermula pada 22 hingga 25 Ogos di venue sama.

Presiden Kesatuan Ragbi Johor, Datuk Noorazam Osman sangat teruja menyaksikan karnival ini berkembang dari sebuah kejohanan dalam negara sehingga menjadi satu kejohanan bertaraf antarabangsa. 

Beliau juga turut menegaskan kepentingan penganjuran kejohanan seperti ini untuk perkembangan sukan ragbi negara ini.

“Karnival ragbi ini adalah yang terbesar di Malaysia dan ia akan membantu dari segi pembangunan sukan ragbi di negara kita,” kata Noorazam. 

“Sekiranya kita ingin berjaya di peringkat antarabangsa, kita amat memerlukan kelompok pemain besar untuk kita melatih mereka. Jadi, kejohanan seperti ini adalah amat sesuai untuk mereka mempamerkan bakat yang dimiliki dan ianya tidak mustahil untuk kita melahirkan pemain-pemain yang berkualiti kelak.”

Katanya, karnival berkenaan juga mempunyai sejarah tersendiri khususnya buat negeri Johor dan menjadi satu langkah memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum. 

Sukan ragbi di Johor sedang rancak membangun khususnya di peringkat akar umbi apabila pasukan bawah-18 tahun mereka mengekalkan kejuaraan peringkat Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia (MSSM) buat tahun kedua.

Bagi memeriahkan lagi Karnival Ragbi Johor 2019, bekas kapten pasukan ragbi 7s All Blacks, Rodney So’oialo akan membuat penampilan istimewa di sekitar negeri Johor dan berkongsi pengetahuan serta pengalaman luasnya khususnya kepada para peminat sukan ragbi.

So’oialo pernah membuat pernampilan sebanyak 62 kali bersama pasukan New Zealand akan meluangkan masa bersama dengan pasukan-pasukan yang bertanding selain sesi ramah mesra dan klinik kejurulatihan untuk pasukan ragbi negeri Johor sebagai persiapan menjelang SUKMA 2020, Piala Agong dan MSSM.

Karnival Ragbi Johor 2019 juga turut mendapat sokongan daripada Iskandar Investment Berhad, Ranhill SAJ, Nestle-MILO, Johor Corporation (JCORP), Sports Johor Sdn Bhd, ATF Sport Taping, Educity Berhad, KPJ Healthcare (M) Sdn Bhd dan RuggerDistrict.

 

 

167 dibaca
Berita Harian X