Jumaat, 23 Ogos 2019 | 3:22pm
FATEHAH Mustapa.

Fatehah gagal mara final keirin GP Asia Tenggara

NILAI: Kekecewaan jelas terpancar di wajah pelumba berbasikal trek wanita kebangsaan, Fatehah Mustapa apabila gagal melayakkan diri ke final acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Grand Prix (GP) Asia Tenggara 2019 di Velodrom Nasional di sini, hari ini.

Fatehah terpaksa akur apabila tidak berjaya mendapat tangga dua teratas di pusingan kelayakan dan pusingan repechages bagi acara utamanya itu.

Difahamkan Fatehah juga kurang berpuas hati dengan aturan jadual yang ditetapkan yang berkaitan dengan jumlah pelumba yang layak ke peringkat akhir.

Bagaimanapun, beliau yang ditemui Bernama, enggan mengulas lanjut mengenai kegagalannya itu.

Semalam, atlet berusia 30 tahun itu berjaya meraih pingat perak bagi acara pecut sekali gus membuktikan beliau mampu mencapai indeks pencapaian prestasi (KPI), yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) untuk terus kekal dalam Program Podium.

-- BERNAMA

Berita Harian X