Sabtu, 24 Ogos 2019 | 8:06pm
Atlet berbasikal trek negara Fatehah Mustapa (kiri) berbincang bersama Ketua Jurulatih Berbasikal Kebangsaan, John Beasley pada Kejohanan Berbasikal Trek Grand Prix Asia Tenggara 2019 di Velodrom Nasional, kelmarin. - Foto BENAMA

Beasley puas hati

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley berpuas hati dengan prestasi anak buahnya memandangkan mereka masih belum lagi memulakan program latihan yang memberi tumpuan terhadap kepantasan.

Selepas membawa pulang satu pingat emas dan tiga perak dalam acara tumpuan keirin dan pecut elit pada Grand Prix Piala Trek Asia Tenggara yang berakhir, semalam, Beasley masih belum mahu menekan butang panik dengan pelumba elit negara yang baru saja pulang menjalani latihan dua bulan di Eropah.

Buat masa ini, hanya Azizulhasni yang sudah boleh menarik nafas lega menempah tiket ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo dalam acara keirin sementara acara lain masih jauh termasuk acara pecut berpasukan.

"Secara keseluruhannya kita melakukan agak baik memandangkan program latihan kepantasan masih belum dilakukan. 

"Jika latihan kepantasan dilakukan, saya yakin pelumba kita akan menjadi lebih bagus. Saya tahu di mana tahap pelumba kita dan semuanya akan lebih baik menjelang Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Korea Selatan (17 Oktober ini)," katanya.

Beasley berkata kekuatan pelumba negara sudah semakin bertambah dan dia yakin latihan kepantasan pada fasa program selepas ini akan membantu negara dalam beraksi cemerlang pada ACC nanti.

Beliau juga gembira dengan persembahan Azizulhasni pada GP kali ini namun akan merehatkan Shah Firdaus Sahrom pada Kejohanan Trek Kebangsaan yang akan berlangsung dua hari bermula esok.

"Shah mengalami jangkitan virus, badan dia panas dan saya ambil keputusan tidak akan menurunkan dia nanti. Saya mahu dia cukup rehat untuk bersama-sama berlumba pada Kejohanan Antarabangsa Trek China (30 Ogos ini)," katanya.

Beasley berkata Shah berada dalam keadaan fizikal yang baik ketika latihan di Eropah dan dia yakin Shah Firdaus akan dapat melakukan keputusan yang baik di China jika sudah sembuh nanti.

Khidmat Shah diperlukan bagi membantu pasukan pecut negara yang diketuai Azizulhasni bersama Mohd Fadhil Zonis dalam memastikan kejayaan pada ACC nanti sekali gus mencerahkan harapan untuk ke Olimpik 2020.

Kejohanan Trek Kebangsaan akan bermula esok dengan kesemua pelumba trek negara akan turut serta dengan acara 1 kilometer ujian masa dan keirin bakal menjadi tumpuan pada saingan di Velodrom Nasional, Nilai.

 

 

Berita Harian X