Ahad, 25 Ogos 2019 | 9:10pm
PEMENANG ketogeri elit Under Armour 'Test Of Will' 2019, Zaid Ariff Zulkifli. - Foto Mustaffa Kamal

Zaid Ariff juarai Under Armour, Test of Will 2019

KUALA LUMPUR: Zaid Ariff Zulkifli muncul pemenang cabaran kecergasan Under Armour, Test of Will 2019 selepas mengetepikan 400 peserta dari seluruh Asia Tenggara sekali gus boleh digelar sebagai badang Malaysia.

Selaku pemenang, badang berusia 27 tahun itu membawa pulang hadiah utama berjumlah RM10,000 hasil kejayaan mencatat markah tertinggi mengikut jumlah ulangan yang dicapai dalam semua empat disiplin senaman.

Berkongsi resipi kejayaannya, Ariff mengakui dia mempersiapkan diri selama tiga minggu dengan menjalani latihan intensif di gimnasium.

"Saya berusaha keras sepanjang tempoh tiga minggu, hampir setiap hari saya ke gimnasium yang mana latihan saya dipantau.

"Pada mulanya saya tak jangka akan menang sebab hanya suka-suka menyertainya kerana tahu banyak peserta lebih hebat," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah di butik Under Armour Pavilion.

Cabaran itu terdiri daripada empat senaman selama satu minit yang mana setiap satu direka untuk menguji kekuatan peserta.

Antara disiplin senaman itu merangkumi double rope slams, rope russian twist, reverse lunges dan rope pulls.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Triple Pte. Ltd, Michael Ginger, berkata misi Under Armour adalah untuk membantu meningkatkan prestasi atlet melalui pakaian sukannya.

"Kami sudah melancarkan koleksi 'Rush & Recovery' dengan matlamat untuk memacu atlet mencapai prestasi terbaik," katanya. 

Triple Pte. Ltd adalah pengedar rasmi eksklusif Under Armour bagi rantau Asia Tenggara.

Berita Harian X