Selasa, 27 Ogos 2019 | 7:11pm

Skuad boling 'hilang punca' di Las Vegas

KUALA LUMPUR: Aksi pasukan wanita Malaysia terus longlai pada Kejohanan Boling Wanita Dunia di Las Vegas, Amerika Syarikat, apabila dua pasukan trio negara, gagal layak ke pusingan separuh akhir kejohanan pada Isnin waktu tempatan (Selasa waktu Malaysia).

Pasukan Malaysia 1 yang terdiri daripada Sin Li Jane, Esther Cheah dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman menjatuhkan 3,893 jatuhan pin untuk menduduki tangga ketujuh, manakala Malaysia 2 yang terdiri daripada Nerosha Keligit, Natasha Roslan dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi di tangga ke-12 daripada 54 pasukan yang menyertainya mengikut laman sesawang kejohanan; www.2019wwc.worldbowling.org.

Mengikut format kejohanan, hanya empat pasukan terbaik layak ke separuh akhir, yang akan berlangsung pada Khamis, 29 Ogos.

Untuk rekod, tiada pemain Malaysia yang bermain cemerlang dalam kategori perseorangan dan beregu yang berlangsung lebih awal pada kejohanan di South Point Bowling Plaza.

Sejumlah 177 pemain dari 34 negara mengambil bahagian pada kejohanan dwitahunan itu.

Pencapaian terbaik Malaysia di kejohanan tersebut ialah memenangi pingat emas berpasukan pada 2017 di venue yang sama. - BERNAMA

465 dibaca
Berita Harian X