Rabu, 28 Ogos 2019 | 9:11pm
Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri. -NSTP/Aziah Azmee

Dhabitah idam kebangkitan

KUALA LUMPUR: Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri berharap tuah layak ke Sukan Olimpik 2016 di Rio, Brazil empat tahun lalu sekali lagi dapat direalisasikan pada Kejohanan Terjun Piala Asia 2019 di Bukit Jalil nanti.

Nur Dhabitah dalam masa sama mengakui dia mahu bangkit bagi memperoleh slot ke Olimpik Tokyo 2020 selepas gagal merebut tiket ke temasya berkenaan apabila ‘kehilangan punca’ ketika beraksi dalam Kejohanan Terjun Dunia ke-18 di Gwangju, Korea Selatan, baru-baru ini.

“Untuk Piala Asia kali ini saya akan beraksi dalam acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita. Saya pernah layak empat tahun lalu di sini jadi saya harap tuah yang sama, Insya-Allah.  

“Saya gagal dapatkan slot di Kejohanan Dunia, mungkin Allah mahu bagi peluang di sini (Bukit Jalil),” kata Nur Dhabitah yang melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 di Rio, Brazil selepas menjuarai acara 10m platform wanita di edisi keenam Piala Terjun Asia pada September 2015.

Mengulas mengenai pencabar dalam kejohanan yang dijadual bermula pada 6 hingga 8 September ini, Nur Dhabitah berkata ia membabitkan dua penerjun Malaysia dan dua dari Indonesia, sambil mengakui saingan sebenar adalah dirinya sendiri.

Berdasarkan senarai yang dikeluarkan penganjur, hanya lima atlet disenaraikan pasukan Indonesia dengan dua daripadanya adalah penerjun wanita iaitu Anasti Maria Natalie Dinda dan Yasmin Linadini.

Selain itu, Jasmine Lai turut beraksi dalam acara sama seperti Nur Dhabitah sekali gus dilihat bakal menjadi pencabar buat penerjun berkenaan.

Selain Nur Dhabitah, Malaysia juga mempunyai peluang cerah untuk menempah tiket ke Tokyo 2020 menerusi penampilan penerjun lelaki, Chew Yiwei dan Ooi Tze Liang yang turut beraksi dalam acara 3m papan anjal individu lelaki, namun masing-masing perlu bergelar juara untuk layak automatik ke Olimpik.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen dalam sidang media Kejohanan Terjun Piala Asia ke-8 di Bukit Jalil menegaskan dia yakin akan kemampuan penerjun negara di Piala Asia, namun perlu berhati-hati dengan saingan diberikan Korea Utara dan Jepun.

“Selain China penerjun Jepun juga kuat dalam acara papan anjal manakala Korea Utara kuat dalam acara platform. Tapi ia baik terutama bagi Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee untuk lihat sejauh mana kekuatan penerjun dari Korea Utara,” katanya.

Setakat ini, hanya tiga penerjun negara sudah menempah tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 iaitu Wendy Ng Yan Yee menerusi acara 3m papan anjal individu wanita.

Selain Wendy, gandingan Pandelela dan Mun Yee turut meraih slot ke Tokyo menerusi acara 10m platform seirama wanita. Pandelela juga meraih tiket ke Olimpik melalui acara 10m platform individu.

217 dibaca
Berita Harian X