Khamis, 29 Ogos 2019 | 6:29pm
Atlet gimnastik berirama, Amy Kwan. - NSTP/Owee Ah Chun

Amy Kwan kembali ke pentas kompetitif

 

KUALA LUMPUR: Gimnas negara, Amy Kwan bakal membuat kemunculan semula di pentas kompetitif selepas pulih daripada kecederaan panjang yang menyebabkannya terlepas semua kejohanan besar tahun ini.

Amy, 24, tidak beraksi sejak Disember lalu akibat menjalani pembedahan pergelangan kaki kiri yang memerlukan tempoh sehingga enam bulan untuk kembali cergas sepenuhnya.

Pengurus gimrama negara, Toh Ai Lee ketika mengesahkan perkara itu berkata, Olimpian negara itu sudah menjalani latihan dan dilihat cukup bersedia untuk mengambil bahagian dalam Sukan SEA Filipina 2019, November nanti.

"Amy sudah menyertai latihan dan turut menguji kemampuannya dalam sesi Ujian Kawalan diadakan bagi memantau prestasi atlet.

"Dia kelihatan bertambah baik dari semasa ke semasa dan sudah boleh bersaing dengan rakan sepasukannya yang lain dalam sesi Ujian Kawalan," katanya.

Amy antara gimnas terbaik negara dengan pencapaian dua emas dan dua perak di Sukan SEA Kuala Lumpur selain turut cemerlang di temasya Komanwel apabila meraih emas acara riben, perak (berpasukan dan individu keseluruhan) serta gangsa (gelung).

Meskipun muncul atlet paling senior dalam kem gimrama negara, belum ada jaminan buat Amy memperoleh tiket beraksi dalam beberapa acara utama di Filipina nanti.

Ini kerana dia dijangka mendapat cabaran sengit daripada Izzah Amzan, Koi Sie Yan dan Rayna Ho bagi merebut slot dalam empat acara individu - gelung, belantan, bola dan riben.

Begitupun, inisiatif terbaru Persekutuan Gimnastik Malaysia memperkenalkan sesi Ujian Kawalan sejak awal Ogos ini membolehkan dia menguji kemampuan sebenar apatah lagi sesi itu menawarkan suasana seperti kejohanan dengan diadili barisan juri dan sebagainya.

Untuk Sukan SEA 2019, skuad gimrama negara mensasarkan untuk menyapu bersih lima pingat emas yang ditawarkan selepas melakar pencapaian membanggakan membolot semua lapan pingat emas bagi edisi 2017.

Berita Harian X