Khamis, 5 September 2019 | 5:10pm
PRESIDEN Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin bercakap ketika sidang media memperkenalkan pemain hoki yang akan menyertai Liga Hoki Itali di Stadium Hoki Kuala Lumpur. - Foto Asyraf Hamzah

Megat Shahriman yakin Syed Saddiq bantu lerai kemelut MPM

KUALA LUMPUR: Calon Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yakin Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan bertindak untuk menyelesaikan kemelut pemilihan mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu.

Walaupun sehingga kini belum memberi sebarang maklum balas, beliau percaya Menteri Belia dan Sukan itu sudah sedia maklum mengenai perkara berkenaan.

Katanya, adalah menjadi harapan beliau supaya isu yang sudah tertangguh sejak 29 Jun lalu itu menemui titik penyelesaian kerana enggan sekali lagi mengheret dirinya dalam kemelut itu.

"Saya rasa YB (Syed Saddiq) sedia maklum mengenai perkara ini sebab ia penting untuk pihaknya meneliti dan siasat. Dan saya pasti dia akan buat keputusan.

"Saya ikut semua peraturan yang ditetapkan dalam perlembagaan MPM termasuk melalui proses mediasi dan kini selepas ia tidak berhasil.

“Maka semuanya perlu diputuskan Menteri Belia dan Sukan atau ke Mahkamah Timbang Tara Sukan," katanya pada majlis memperkenalkan barisan pemain tempatan ke Eropah di Stadium Hoki Kuala Lumpur, hari ini.

Sebagai rekod, pemilihan jawatankuasa baharu MPM bagi penggal 2019-2023 sepatutnya berlangsung pada 29 Jun lalu, namun ditangguhkan selepas timbulnya isu pencalonan lewat daripada beberapa calon termasuk bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bagi jawatan presiden.

Kini ia sudah genap dua bulan tanpa khabar berita termasuk dakwaan setiap ahli jawatankuasa diminta mengunci mulut daripada mengeluarkan sebarang kenyataan.

Isu itu bagaimanapun kembali hangat diperkatakan selepas surat daripada Ketua Penolong Pesuruhjaya Sukan (PJS), Asmadi Mohamad kepada MPM bertarikh 30 Ogos lalu tersebar di media sosial yang menegaskan badan induk itu boleh berdepan hukuman penggantungan andai masih gagal menyelesaikan kemelut yang dihadapi.

Ini kerana berdasarkan perlembagaan artikel 26.3, MPM dengan jelas menyatakan sekiranya proses mediasi gagal, maka isu berkenaan memerlukan kata putus daripada Menteri Belia dan Sukan atau Mahkamah Timbang Tara.

Mengulas lanjut, Megat berkata segala-galanya sudah jelas termaktub di dalam perlembagaan MPM dan untuk itu beliau menyarankan isu berkenaan diselesaikan mengikut kaedah yang telus.

"Di pihak saya mengikut segala yang ditetapkan di dalam perlembagaan MPM. Jadi biarlah isu ini diselesaikan dengan cara yang betul iaitu membabitkan Menteri Belia dan Sukan. Saya tetap akan bertanding dan tak akan lepaskannya kerana saya mahu pastikan golongan atlet paralimpik terbela.

"Jika ada pihak tertentu hendak melakukan sesuatu yang tidak bertanggjawab, saya serahkan kepada pihak yang berkenaan. Yang pasti saya tak mahu terheret di dalam isu ini," katanya.

Berita Harian X