Khamis, 5 September 2019 | 8:49pm
SHALIN Zulkifli.

Shalin masih ingin ke Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Ratu tenpin boling negara, Shalin Zulkifli yakin mampu mengejar kelompok empat pemain wanita terbaik negara untuk memastikan beliau tersenarai ke Sukan SEA 2019 di Filipina pada November ini.

Atlet berusia 41 tahun itu berkata demi menabur bakti kepada negara, beliau tekad untuk merebut peluang terakhir yang ada sebelum kejohanan dwi tahunan itu yang membuka tirai pada 31 November hingga 11 Disember ini.

Kini, pemain berpengalaman itu berada di ranking kelapan keseluruhan dalam carta ranking kebangsaan Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC).

Shalin yang sebelum ini mengalami kecederaan belakang pulih sepenuhnya dan berada dalam keadaan terbaik untuk mencapai sasaran diletakkan kepada dirinya.

“Ternyata keputusan diambil sangat tepat dan seterusnya saya mahu fokus kepada pemilihan ke Filipina sahaja. Tidak dinafikan pemilihan ke Sukan SEA kali ini agak sukar kerana hanya empat atlet dipilih berbanding enam sebelum ini," katanya ketika ditemui Bernama, di sini, hari ini.

"Sebelum ini, saya tidak sertai kejohanan kebangsaan kerana tidak terpilih ke Kejohanan Wanita Dunia di Las Vegas. Jadi saya rasa baik saya fokus kepada proses pemulihan supaya tidak berlaku kecederaan berulang, kalau main pun akan sakit.

Bagi membolehkan beliau tersenarai dalam skuad kebangsaan dan memburu emas ke-21 di temasya terbesar Asia Tenggara itu, Shalin akan menyertai empat kejohanan antaranya Terbuka Sarawak dan Jelajah Boling Dunia Thailand di Bangkok pada 22-28 September ini.

Untuk rekod, Shalin setakat ini mengumpul 20 pingat emas pada Sukan SEA di belakang bekas ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah yang memegang rekod sebagai pemenang pingat emas terbanyak iaitu 22 emas sepanjang penyertaan pada Sukan SEA antara 1983 hingga 1989.

Mengulas mengenai pencapaian Malaysia pada Kejohanan Wanita Dunia 2019 di Las Vegas yang gagal mengutip sebarang kemenangan, Shalin menyedari kelemahan dari segi pendedahan di peringkat lebih tinggi menjadi punca wakil negara pulang dengan tangan kosong.

Bekas juara dunia itu menegaskan apa ditampilkan rakan sepasukannya di Las Vegas bukan prestasi sebenar dan percaya skuad wanita negara mampu melakukan lebih baik daripada itu.

"Mereka banyak melakukan kesilapan dari segi teknikal. Pendapat saya mungkin mereka terlalu mahu menang namun ia adalah kejohanan dunia, memang saingan sangat sengit.

“Tetapi saya rasa mereka boleh buat lebih bagus. Ia tidak mencerminkan prestasi mereka di Sukan SEA nanti. Saya rasa Malaysia masih boleh membuat kejutan dengan prestasi yang dipamerkan atlet sekarang," katanya.

Di Las Vegas, skuad tenpin boling wanita negara dibarisi Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Sin Li Jane, Natasha Roslan, Esther Cheah, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan muka baharu, Nerosha Keligit yang menggantikan Shalin.

-- BERNAMA

455 dibaca
Berita Harian X