Jumaat, 6 September 2019 | 12:34pm
Aksi Ridzuan ketika Kejohanan Memanah Berkuda Dunia di Korea Selatan pada 1 September lalu. - Ihsan Mohd Ridzuan Zakaria

Ridzuan sasar emas Sukan Memanah Berkuda di Iran

KUALA TERENGGANU: Kejayaan merangkul pingat perak pada Kejohanan Memanah Berkuda Dunia ke-15 di Korea Selatan yang berakhir Ahad lalu menyuntik semangat Mohd Ridzuan Zakaria untuk mengutip emas pada Kejohanan Memanah Berkuda Dunia Ketiga di Iran pada 20-24 November depan.

Pemanah kelahiran Kampung Buluh, Setiu, Terengganu itu juga tekad mahu memperbaiki catatan panahan berbanding Kejohanan Dunia di Chungju, Korea Selatan itu.

"Kejayaan merangkul pingat perak di peringkat dunia ini adalah antara  pencapaian membanggakan saya kerana berjaya mengetepikan 42  pencabar dari negara lain termasuk India, Belgium, Iran dan Pakistan.

"Namun begitu, sasaran saya adalah pingat emas pada kejohanan itu, namun rezeki tidak memihak kepada kami pada kali ini selepas tidak berjaya membawa pulang pingat emas.

"Bagaimanapun pengalaman yang dikutip pada kejohanan ini dan pengalaman sebelum ini akan digunakan sebaik mungkin untuk menghadiahkan pingat emas buat negara dalam kejohanan di Iran pada November depan," ujar Ridzuan.

Dalam kejohanan yang bermula pada 27 Ogos itu, pemanah yang lebih mesra dipanggil Makju itu meraih pingat perak dalam acara Serial Shoot Team bersama dua lagi rakannya, Muhamad Akhmal Muhamad Dahalan dan Mohd Nasrul Kamarulzaman.

November lalu, Ridzuan, 29, yang mula berjinak dengan sukan memanah berkuda sejak 2012 terpaksa berpuas hati meraih tempat kedua kategori individu dalam Kejohanan Memanah Berkuda Antarabangsa di Indonesia.

"Berbaki lebih kurang dua bulan lagi sebelum beraksi di Iran, saya akan mempersiapkan diri selain menajamkan lagi kemahiran memanah ketika menunggang kuda.

"Untuk memanah dengan tepat pada sasaran secara lebih pantas, imbangan badan di atas kuda juga amat penting lebih-lebih lagi kuda berkenaan adalah kuda pihak penganjur, inilah cabaran utama pelumba," kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ibrahim, Setiu itu.

Kelmarin, Gabungan Pemanah Terengganu (GAPETER) yang diketuai Rozman Awang menyambut pemanah itu sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Berita Harian X