Sabtu, 7 September 2019 | 5:50pm
PENERJUN Negara, Pandelela Pamg dan Leong Mun Yee melakukan terjunan pada acara 10 Meter platform Seirama Wanita pada Kejohanan Piala Terjun Asia yang diadakan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Pandelela tarik diri, tiada pemenang

KUALA LUMPUR: Kecederaan belakang sekali lagi menghantui penerjun negara, Pandelela Rinong Pamg apabila terpaksa menarik diri ketika sedang beraksi dalam acara 10 meter platform seirama wanita pada Piala Terjun Asia kelapan di Pusat Akuatik Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Pandelela yang bergandingan bersama Leong Mun Yee dalam acara hari ini mengambil keputusan untuk menarik diri selepas melakukan terjunan kedua 'back dive' biarpun pada mulanya mendahului kutipan mata.

Untuk rekod, gandingan Pandelela-Mun Yee sudah pun menempah tiket ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo selepas memenangi pingat perak pada Kejohanan Dunia FINA, Julai lalu.

"Sebenarnya saya dapat rasakan masalah belakang saya datang balik pagi tadi cuma saya cuba nak teruskan tetapi selepas terjunan kedua, impak daripada terjunan ke dalam air saya dapat rasakan belakang saya semakin teruk.

"Selepas berbincang dengan jurulatih (Christian Brooker), saya rasa lebih baik menarik diri daripada semakin teruk," katanya yang mengatakan kesakitan itu adalah kecederaan lama yang menyebabkan dia terpaksa menarik diri pada Sukan Asia di Indonesia pada tahun lalu dan terpaksa berehat panjang.

Acara 10 meter platform seirama wanita yang berlangsung itu yang hanya disertai Malaysia dan Korea Utara bagaimanapun diumumkan tiada pemenang selepas penyertaan Korea Utara yang menurunkan Jo Jon Mi-Kim Mi Rae dibatalkan oleh jawatankuasa teknikal dan pengadilan.

"Kita masih meneruskan acara biarpun hanya ada dua pasukan sertai namun pada pertengahan acara, pasukan Malaysia iaitu Pandelela mengalami kecederaan dan pengurus pasukan Malaysia menarik diri.

"Jika acara itu diteruskan, hanya ada Korea Utara namun pegawai teknikal mendapati salah seorang penerjun Korea Utara tak didaftarkan bertanding untuk acara itu dan di bawah peraturan FINA, jika penerjun itu bertanding maka penyertaannya akan dibatalkan," kata pegawai teknikal, Tony Koh yang enggan menamakan penerjun terbabit.

Acara 3m papan anjal wanita pula menyaksikan penerjun muda yang berusia 17 tahun, Ong Ker Ying berjaya mengetepikan penerjun senior, Jasmine Lai untuk merangkul pingat emas apabila mencatat 215.35 mata, hanya 3.15 mata di hadapan Jasmine.

Pingat gangsa dimenangi penerjun Indonesia, Yasmin Linadini (153.65 mata).

Terdahulu, acara kelayakan 3m papan anjal lelaki menyaksikan penerjun negara, Chew Yi Wei dan Ooi Tze Liang masing-masing berada di kedudukan pertama dan kedua bagi mencerahkan harapan negara untuk memenangi pingat emas pada final pada 7 malam ini sekali gus memperoleh tiket ke Tokyo 2020.

Hanya pemenang pingat emas yang akan memperoleh tiket ke Tokyo.

1161 dibaca
Berita Harian X