Sabtu, 7 September 2019 | 8:59pm
PENERJUN Negara, Mohd Syafiq Puteh dan Gabriel Gilbert. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Penerjun lelaki 'lemas' di Pusat Akuatik Nasional

KUALA LUMPUR: Penerjun lelaki negara terpaksa menunggu sehingga tahun hadapan bagi memperoleh tiket ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo apabila tidak berjaya memperoleh satu tiket Olimpik yang ditawarkan dalam acara 3 meter (m) papan anjal lelaki pada Piala Terjun Asia di Pusat Akuatik Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur di sini, malam ini.

Sandaran negara yang diletakkan di bahu Chew Yiwei dan Ooi Tze Liang yang mendahului pada pusingan kelayakan di sebelah pagi hampa apabila Yiwei dan Tze Liang masing-masing terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua dan ketiga.

Hanya pemenang pingat emas dalam acara individu akan diberikan tiket ke Tokyo 2020.

Yiwei bermula baik apabila mendahului sehinggalah pusingan kedua terjunan sebelum Ken Terauchi dari Jepun memintasnya hingga ke terjunan keenam apabila mengumpul 426.10 mata, kelebihan 17.05 mata di hadapan Yiwei.

Tze Liang bagaimanapun merangkul gangsa dengan memperoleh 408.75 mata.

"Memang saya kecewa apabila terlepas tiket awal ke Olimpik tetapi saya agak terganggu apabila kecederaan lutut kiri saya kembali dirasai.

"Terus terang saya hilang fokus selepas terjunan kelima apabila memperoleh mata rendah (47.85 mata) dan jatuh ke tempat keenam," kata Yi Wei.

Yiwei berkata, dia yakin akan memperoleh tiket ke Tokyo 2020 apabila 18 lagi tiket akan ditawarkan pada Piala Dunia Terjun FINA yang akan berlangsung di Tokyo pada April tahun hadapan.

Buat masa ini, tiga penerjun wanita negara - Pandelela Rinong Pamg, Leong Mun Yee dan Wendy Ng masing-masing sudah memperoleh tiket ke Tokyo 2020 apabila melayakkan diri menerusi Kejohanan Dunia FINA, Julai lalu.

Terdahulu di sebelah pagi, kecederaan lama di belakang Pandelela kembali menghantuinya hingga menyebabkan penerjun itu membuat keputusan menarik diri selepas terjunan kedua dalam acara 10 meter platform seirama wanita  bergandingan bersama Mun Yee.

"Sebenarnya saya dapat rasakan masalah belakang saya datang balik pagi tadi cuma saya cuba nak teruskan tetapi selepas terjunan kedua, impak daripada terjunan ke dalam air saya dapat rasakan belakang saya semakin teruk. Selepas berbincang dengan jurulatih (Christian Brooker), saya rasa lebih baik menarik diri daripada semakin teruk," kata Pandelela.

8014 dibaca
Berita Harian X